Sebut sahaja kerja sekolah mesti terbayang di fikiran kita terutamanya para pelajar tentang timbunan tugasan subjek yang diberikan guru-guru.
Lebih melucukan, ada antara pelajar yang langsung tidak sempat menyiapkan tugasan berkenaan dek kekangan masa sehingga mereka didenda. Sedih bukan!
Namun tahukah kalian semua bahawa lambakan kerja rumah bukan sesuatu yang biasa dalam arus pendidikan di United Kingdom (UK).
Baru-baru ini, seorang pengguna akaun bernama Jafni Johari Jiken berkongsi tentang pengalamannya menyekolahkan anak di bumi tersebut menerusi hantaran Facebook baru-baru ini.
Di sini Sinar Bestari kongsikan keseluruhan hantarannya itu:
Mengapa kerja rumah di UK sedikit?
"Kini kami sudah masuk minggu ketiga persekolahan. Salah satu perbezaan ketara yang saya lihat di sini ialah jumlah kerja rumah yang diberikan oleh guru. Lihat sahaja gambar di bawah ini.
"Gambar pertama adalah keseluruhan kerja rumah untuk minggu pertama dan gambar kedua adalah untuk minggu kedua bagi Nusaybah (anak) yang berada di Tahun Tiga.
Iklan
Iklan
"Dan ini bukan kerja rumah harian. Mingguan. Bermakna mereka akan terima kerja rumah pada hari Jumaat dan hantar pada Jumaat minggu hadapan.
"Betapa sedikitnya kerja rumah dan mudah! Saya sebagai bapa pula tidak puas hati dengan jumlah kerja rumah.
"Maka, saya akan tambahkan lagi soalan-soalan yang saya rangka sendiri, malah dengan tahap yang lebih mencabar untuk meningkatkan lagi tahap pemahaman mereka,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Tambah Jafni, apabila perkara tersebut diajukan kepada guru anaknya, jawapan yang diberikan adalah tugasan sekolah diberikan adalah memadai kerana tidak mahu membebankan pelajar.
Guru tersebut turut memberitahu bahawa pelajar juga perlukan masa untuk bermain dan melakukan aktiviti lain.
Setelah menyelidiki lebih mendalam, Jafni memahami bahawa kerja sekolah yang diberikan itu memiliki sebab-sebab tertentu iaitu;
1) Perkembangan keseluruhan pelajar
Sistem pendidikan mereka fokus kepada keseluruhan pembangunan dan perkembangan kanak-kanak, termasuk kemahiran sosial, kesihatan emosi serta bukan hanya akademik.
2) Kualiti lebih dari kuantiti
Mereka percaya kerja rumah yang sedikit tetapi berfokus lebih bermakna dari jumlah yang banyak.
3) Keseimbangan hidup dan kerjaya
Pentingnya gaya hidup yang seimbang. Kanak-kanak perlu mempunyai waktu lapang dan berkualiti untuk melakukan aktiviti lain bersama keluarga dan berehat.
4) Kurang tekanan
Ini untuk menggalakkan suasana pembelajaran yang sihat.
5) Kelas yang efektif
Guru akan menggunakan masa sebaik-baiknya di kelas untuk memahamkan pelajar. Kerja rumah hanya untuk mereka ingat sahaja apa yang dipelajari.
Mereka lebih galakkan untuk membaca buku di rumah setiap hari.