Dalam dunia yang semakin terhubung tanpa sempadan, peranan guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menjadi kompas nilai kepada generasi masa depan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, menegaskan pendidik perlu terus diperkasa agar mampu membimbing pelajar mengekalkan keseimbangan antara jati diri dan keterbukaan global.
Menurut beliau, era connected world hari ini menyaksikan masyarakat bukan sahaja terhubung dengan keluarga dan rakan, malah dengan dunia di hujung jari. Namun dalam keterhubungan itu, wujud kecenderungan untuk terpisah daripada nilai, asal-usul dan akar pegangan sendiri.
“Semakin hari kita menilai siapa diri kita, di mana kedudukan kita dan apakah akar kepada pegangan kita. Sebab itu pentingnya dunia pendidikan untuk menetapkan keseimbangan antara memahami latar belakang serta nilai dalaman kita dengan meneruskan keterhubungan dengan dunia luar. Jika keseimbangan ini gagal dicapai, masyarakat masa depan akan berdepan cabaran yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Selangor bersama Guru dan Komuniti Pendidik Negeri Selangor 2026 di Dewan Raja Muda Musa pada Sabtu lalu.
Amirudin berkata, meskipun pertemuan itu tidak dapat menghimpunkan keseluruhan lebih 60,000 warga pendidik di negeri ini, kehadiran wakil Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri, universiti serta agensi berkaitan mencerminkan komitmen tinggi dalam memartabatkan pendidikan di Selangor.
Beliau turut mengingatkan bahawa lambakan maklumat pada masa kini tidak semestinya melahirkan kebijaksanaan.
“Informasi yang banyak belum tentu membijakkan kita dan belum tentu memastikan kita hidup dalam suasana aman dan stabil. Sebab itu anak-anak dan pelajar mesti terus dilatih dan dipandu bukan sahaja dari sudut akademik, tetapi dari segi kemanusiaan dan nilai-nilai kehidupan,” ujarnya.
Tambah beliau, pelbagai cabaran semasa termasuk isu sosial yang kadangkala di luar batas logik menjadi peringatan bahawa pendidikan harus kekal sebagai asas membina masyarakat seimbang.
Mengimbas pertemuan pendidikan tahun lalu, beliau turut menyentuh konsep “generasi hati” atau the anxious generation yang hidup dalam tekanan keterhubungan tanpa sempadan, namun masih mencari makna dan kestabilan emosi.
“Pendidikan harus melahirkan generasi yang mampu membina kehidupan yang damai dan seimbang,” katanya.