Pusat Multidimensi bantu tangani kemiskinan murid

Iklan
Fadhlina menyempurnakan Pusat Multidimensi Farm Fresh di SK Sungai Acheh pada Ahad.

Bagi mencegah tekanan kemiskinan multidimensi dalam kalangan murid-murid sekolah, Kementerian Pendidikan (KPM) telah bekerjasama dengan syarikat pengeluar produk tenusu, Farm Fresh Bhd sekali gus mewujudkan Pusat Multidimensi kepada mereka.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, kemiskinan multidimensi bermaksud kemiskinan atau kekurangan daripada pelbagai sudut kehidupan antaranya taraf kewangan keluarga, taraf pendidikan, kesihatan, persekitaran atau taraf hidup yang akan cenderung ke arah tekanan emosi yang sangat tinggi kepada murid-murid.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Pusat Multidimensi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Acheh, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal.

Iklan

Tambah Fadhlina, hasrat membuka 10 Pusat Multidimensi di seluruh negara akan melibatkan kos sebanyak RM2 juta membabitkan 500 murid untuk program selama setahun.

"Program ini adalah bersempena Program Susu Sekolah KPM dan Farm Fresh merupakan pembekal utama program susu sekolah melibatkan lapan negeri.

Iklan

"Pusat Multidimensi di SK Sungai Acheh ini adalah pusat yang kedua telah dibuka setelah program rintis dilakukan di SK Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur yang merupakan kelas rintis pertama dimulakan sejak Jun lalu," jelasnya.

Sementara itu, Fadhlina memaklumkan, pelbagai manfaat akan dinikmati oleh murid-murid yang terpilih mengikuti program yang berlangsung selama setahun itu.

Antara faedahnya adalah kelas tuisyen secara percuma tiga hari seminggu membabitkan murid-murid Tahun Empat, Lima dan Enam dengan mata pelajaran utama seperti Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

"Kemudian, ia akan dinilai semula setelah program tamat," katanya yang turut menjemput semua rakan sektor korporat bersama-sama KPM bagi menjayakan lebih banyak program dalam memberi manfaat kepada sekolah dan komuniti.