Ini yang harus pelajar tahu tentang Maulidur Rasul  

Iklan


Tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Maulidur Rasul 1445H/2023.

Umumnya, Maulidur Rasul disambut pada 12 Rabiulawal setiap tahun sebagai menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, hari tersebut juga cukup memberikan makna yang besar buat masyarakat bertauhid kerana jasa baginda Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah bukan satu perkara yang mudah.

Kenapa pelajar perlu cakna tentang Maulidur Rasul?

Bagi warga berilmu terutama pelajar dan mahasiswa, Maulidur Rasul bukan sekadar dilihat sebagai satu sambutan peristiwa kelahiran seseorang individu yang dikenali. Akan tetapi ia turut menjadi saat untuk mentadabbur dan mengenali kehidupan baginda.

Kehidupan sebagai pelajar yang berdepan dengan pelbagai dilema seperti pelajaran dan adakalanya masalah kehidupan membuatkan ia sedikit menghimpit jiwa serta kegalauan.

Bagaimanapun, semua itu bukan satu masalah besar jika kehidupan junjungan kita Rasulullah SAW yang terdiri daripada sikap sabar, santun, cekal dan tabah dicontohi sebaik mungkin.

Perkara itu adalah seperti mana firman ALLAH SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 21:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) ALLAH dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati ALLAH banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Dengan memahami dan meneliti inti pati kehidupan baginda, sudah pasti deria positif dalam jiwa sebagai penuntut ilmu akan jauh lebih baik dan bersemangat dalam melayari kehidupan.

Menyentuh pula tentang cara Rasulullah SAW, sudah pasti tidak akan terlepas daripada mengikuti pemahaman dan petunjuk daripada al- Quran seperti mana yang diriwayatkan oleh Siti Aisyah dalam Hadis Riwayat Muslim.

"Akhlak Nabi SAW adalah al- Quran.”

Bayangkan, dalam keadaan warga terpelajar di negara ini terutamanya menelusuri lautan ilmu yang penuh dengan kritikal di samping meneladani akhlak junjungan mulia itu, bukankah ia satu kejayaan besar.

Apa lagi yang pelajar harus lakukan pada Maulidur Rasul?

Selain mengambil peluang untuk mengenali baginda Nabi SAW, Maulidur Rasul turut menjadi peluang buat warga pelajar untuk mengajak dan menyeru antara satu sama lain untuk mengisi hari tersebut dengan pelbagai amalan yang baik.

Firman ALLAH dalam Surah al- Maidah ayat 2:

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada ALLAH kerana sesungguhnya ALLAH Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

Seterusnya, pada hari yang mulia itu juga, para pelajar boleh mengambil peluang untuk memperbanyakkan selawat dan pujian ke atas Rasulullah SAW.

"Sesungguhnya ALLAH dan malaikatNya berselawat (melimpahkan rahmat dan keampunan) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat (mendoakan rahmat) baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya.” - (Surah al-Ahzaab ayat 56)

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama menjadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini lebih bermakna bukan sekadar luaran tetapi juga dalamannya.