Cikgu Alizawati gigih bantu murid terlibat gejala merokok

Iklan
Kemunculan pelbagai trend merokok hari ini juga mendorong kepada kebimbangan ramai pihak antaranya ibu bapa dan guru-guru.

"Cuba bayangkan bagaimana murid Tahun Tiga boleh terlibat dengan tabiat merokok dan tindakan tersebut turut disokong oleh penjaganya.” Itu antara cerita yang diberitahu seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Kedah, Alizawati Abdul Rahim.

Katanya, ia juga pengalaman yang tidak dapat dilupakan sewaktu mula-mula melangkah masuk ke dunia pendidikan.

Iklan
Iklan

Tambah Cikgu Alizawati, murid tersebut didapati terlibat dengan tabiat merokok ketika tinggal bersama datuknya yang merupakan insan pertama membenarkan dirinya menyentuh dan menghisap rokok.

Terpanggil untuk membantu murid berkenaan, Cikgu Alizawati memberitahu, pelbagai pendedahan maklumat tentang bahaya merokok dan bantuan diberikan kepadanya termasuklah menyediakan satu intervensi khas.

Cikgu Alizawati

Iklan

"Pada awalnya agak mencabar untuk mendekati murid tersebut, namun saya ambil pendekatan mudah dengan menyediakan makanan untuknya sewaktu rehat di bilik kaunseling dan bermula dari situ, saya mula rapat dengannya.

"Menurut ceritanya, atuk yang juga penjaganya memberi dan membenarkan dirinya untuk merokok, apatah lagi pertama kali mencubanya dia dikatakan tidak batuk.

Iklan

"Bermula dari situ saya cuba pelbagai kaedah dengan memberikannya gula-gula Hacks, selain turut berkongsi tip seperti tidur awal dan memberikannya buku untuk catat berapa batang rokok dihisap sehari sehingga akhirnya berjaya menarik murid ini daripada terus terjerumus dalam gejala tidak sihat,” ceritanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Rokok elektronik trend baharu

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu, kemunculan pelbagai trend merokok hari ini juga mendorong kepada kebimbangan ramai pihak terutama ibu bapa dan guru-guru.

Jika dahulu mereka terlibat dengan tabiat merokok, namun kini dengan adanya rokok elektronik yang muncul bersama pelbagai perisa turut mengundang masalah kesihatan yang sama, bahkan lebih teruk daripada merokok.

Beritahu Cikgu Alizawati lagi, pelbagai cerita dan pengalaman baharu dapat diketahuinya sepanjang terlibat dengan intervensi murid merokok yang berisiko tinggi.

Beritahunya, sebelum ini beliau pernah dikejutkan dengan berita kemunculan dadah baharu dalam rokok elektronik yang diberi nama Mushroom.

"Saya pernah bersembang dengan murid merokok berisiko tinggi dan mereka beritahu tentang perisa baharu dalam rokok elektronik tetapi ia sebenarnya dadah.

Dekati murid merokok berisiko tinggi dengan mesra agar mereka dapat diselamatkan daripada terus terjerumus dalam gejala tidak sihat itu.

"Mereka yang menghisapnya akan khayal, malah kesannya juga sama seperti menghisap dadah.

"Ia betul-betul membuka mata dan minda saya sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling. Perkembangan teknologi hari ini adalah satu cabaran baharu untuk membantu murid yang terlibat dengan gejala tidak sihat,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, tutur Cikgu Alizawati lagi, kebanyakan murid yang terlibat dengan rokok bermula dari rumah.

Ia susulan daripada maklum balas diterima menerusi borang pemantauan status merokok bagi murid Tahun Satu yang menyatakan mereka tahu mengenai tabiat tidak sihat itu daripada ayah yang juga seorang perokok.

"Lebih memeranjatkan, rata-rata berkeinginan untuk mencuba kerana melihat bapa merokok dan di sini jelas faktor murid terlibat dengan merokok bermula dari rumah sendiri.

"Rakan sebaya yang mengajak ini lebih kepada mengukuhkan lagi keinginan mereka untuk mencuba,” jelasnya.