Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20 tekad merangkul kejuaraan Piala Raja Muda Selangor 2023 apabila berdepan SK Taman Alam Megah dalam aksi akhir di Padang Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Shah Alam, Selangor pada Selasa.
Malah Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak SK Seksyen 20, Nik Juhaidi Tarmizi Juhari berkata, kejayaan merangkul kejuaraan Peringkat Zon Daerah Petaling Perdana baru-baru ini menjadi azimat kepada pasukan yang berpangkalan di Shah Alam, Selangor itu.
"Ya, para pemain SK Seksyen 20 berada pada tahap motivasi terbaik untuk merangkul kejuaraan Piala Raja Muda Selangor sekali gus melengkapkan kejuaraan berganda.
"Bagaimanapun saya percaya SK Taman Alam Megah yang dibarisi pemain berkualiti dan jurulatih berpengalaman pastinya menghadirkan tentangan sengit dalam perlawanan akhir ini,” katanya pada Isnin.
SK Seksyen 20 sebelum itu mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir selepas membelasah SK Puchong, 6-0 dalam aksi separuh akhir manakala SK Taman Alam Megah pula menyingkirkan juara bertahan SK Seri Selangor, 1-0.
Sebagai rekod, Piala Raja Muda Selangor merupakan kejuaraan bola sepak Bawah 12 tahun melibatkan penyertaan sekolah-sekolah rendah seluruh Selangor yang mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad).
Sementara itu, Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak SK Taman Alam Megah, Mohamad Zool Hilmy Mohd Yusof mengakui lebih selesa dengan status pasukan bukan pilihan dalam perlawanan akhir edisi ke-34 tersebut.
"Alhamdulillah, kami lebih suka meletakkan diri kami sebagai pasukan underdog berdasarkan status dimiliki SK Seksyen 20 pada ketika ini.
"Biarpun begitu saya percaya para pemain SK Taman Alam Megah memiliki keinginan tinggi apabila berada pada tahap ini.
"Saya berharap setiap pemain yang diberikan tanggungjawab akan memanfaatkan peluang beraksi di pentas final sebaik mungkin untuk mereka pergi lebih jauh dalam sukan ini,” katanya.