Sultan Nazrin berkenan rasmi SMK Proton City

Iklan


Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City di Tanjung Malim, Perak pada Khamis.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan tiba baginda pada 10.05 pagi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isterinya, Datin Seri Aezer Zubin serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti bacaan al-Quran sebelum Sultan Nazrin menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak.

Fadhlina dalam ucapannya berkata, sekolah tersebut mula beroperasi pada 5 Februari 2018 dan mempunyai 42 bilik darjah selain dilengkapi kemudahan antaranya dewan, padang, astaka, surau dan kantin.

SMK Proton City terletak kira-kira sembilan kilometer (KM) dari bandar Tanjung Malim, dibina di atas tanah seluas 9.349 hektar dengan kos pembinaan sebanyak RM29.9 juta.

Kerja pembinaan sekolah mula dilaksanakan 28 Julai 2015 dan siap sepenuhnya pada 25 Julai 2017.

Beliau berkata, sekolah tersebut kini mempunyai 675 pelajar, 61 guru dan tujuh staf sokongan.

Fadhlina berkata, konsep bilik darjah bergerak atau mobile classroom telah diperkenalkan oleh pihak pengurusan sekolah untuk mengoptimumkan penggunaan 42 bilik darjah berkenaan.

"Ciri utama konsep mobile classroom ialah pelajar tidak mempunyai kelas tetap, mereka akan bergerak ke bilik guru, mata pelajaran mengikut cara, waktu yang ditetapkan.

"Setiap guru mata pelajaran diperuntukkan satu bilik kelas dan pengurusan bilik tersebut dilakukan sepenuhnya oleh guru berkenaan,” ujar beliau.

Pada masa sama, Fadhlina berkata, antara pencapaian terbaik sekolah tersebut adalah dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, apabila memperoleh 100 peratus lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah.

Tiga pelajarnya memperolehi semua A dalam peperiksaan berkenaan selain sekolah tersebut terpilih sebagai sekolah harian terbaik daerah Muallim.

Selepas majlis perasmian itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan melawat pameran yang disediakan pelajar dan guru sambil diberi penerangan oleh Pengetua SMK Proton City, Zalina Ahmad sebelum pasangan diraja berkenaan diangkat pulang. - BERNAMA