5 tip penting buat guru yang bakal berkhidmat di Sarawak

Iklan

Memegang status rasmi sebagai guru setelah menamatkan pengajian pastinya merupakan saat yang ditunggu-tunggu selama ini.

Manakan tidak, segala teori yang dipelajari semasa di kampus dahulu kini bakal diterjemahkan dalam bentuk pengajaran kepada anak didik.

Iklan
Iklan

Pada masa yang sama, menjawat amanah tersebut sudah pasti membuatkan rata-rata mereka dihantar bertugas ke serata pelosok negara seperti berkhidmat di bandar, luar bandar dan tidak kurang juga di kawasan pedalaman.

Baru-baru ini seorang guru yang juga pempengaruh dikenali ramai, Cikgu Emmet memberi lima tip kepada guru yang bakal dihantar berkhidmat di Sarawak pada awal-awal karier.

Iklan

Koleksi tip yang dikongsi Cikgu Emmet menerusi satu video di Facebook terdiri daripada;

1) Buat kajian latar belakang sekolah

Iklan

Bagi guru yang ditugaskan di Bumi Kenyalang itu, sangat penting untuk diingatkan untuk membuat kajian latar belakang sekolah tempat mereka bertugas.

Ia adalah bagi mempersiapkan mental dan fizikal mereka yang bakal berkhidmat kerana terdapat sesetengah kawasan di wilayah tersebut yang mencabar persekitarannya disebabkan terletak di kawasan pedalaman.

2) Hormati guru senior

Berkelana sebagai orang baharu di sesebuah sekolah sudah pasti membuahkan perkenalan dengan guru yang lebih senior,.

Justeru, bagi memperdalam input dan maklumat tempat bertugas, hubungan antara guru baharu dan lama haruslah baik.

3) Bercampur dengan masyarakat

Sebagai warga pendidik, hubungan bersama masyarakat setempat sangatlah penting. Justeru, luaskan pergaulan yang tidak hanya sebatas bersama warga pekerja.

Bagi warga pendidik yang merupakan guru agama, jika tempat kerja anda berada di kawasan perkampungan Melayu Islam, terdapat daripada kalangan mereka yang dipanggil untuk mengetuai bacaan doa dan tahlil jika terdapat kenduri.

Selain iti, para guru juga berpeluang menyertai aktiviti riadah yang dianjurkan oleh warga tempatan seperti berkelah dan berburu serta sudah pasti ia membuahkan ikatan yang jauh lebih kuat

4) Belajar bahasa tempatan

Mempunyai etnik dan kaum yang berbilang di Sarawak menjadikan para guru yang berkhidmat di sana mempunyai kelebihan untuk mempelajari pelbagai bahasa seperti Iban, Melanau dan Bidayuh.

Oleh itu, golongan guru diingatkan untuk tidak melepaskan peluang tersebut dengan mempelajari bahasa tempatan bagi mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Ini kerana kemahiran dalam perkara itu membuka ruang lebih luas terhadap komunikasi antara satu sama lain.

5) Jangan keras kepala atau ego

Bak kata pepatah ‘Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum’. Penting untuk diingatkan kepada warga guru yang bertugas di negeri tersebut untuk tidak berbuat sesuka hati kerana penduduk di sana sangat menerima kehadiran orang luar dengan hati yang terbuka.

Sekiranya berkhidmat di sesetengah kawasan yang penduduknya rata-rata bukan beragama Islam, adakalanya mereka ditawarkan minuman tradisional yang tidak halal seperti ‘tuak’.

Justeru, sebagai seorang Muslim, kita harus menjaga prinsip namun pada masa sama perlu menolaknya dengan baik tanpa membuatkan mereka tersinggung.

Akhir sekali, Sinar Bestari mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada kumpulan guru yang bakal berkhidmat di Sarawak nanti.

Teruslah mendidik anak bangsa menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat.