Dalam kelas nombor terakhir tetapi selalu rajin tolong ibu, kanak-kanak raih pujian netizen

Iklan


Mempunyai anak yang cemerlang dalam pembelajaran merupakan sesuatu yang amat diidam-idamkan oleh para ibu bapa.

Ia sehinggakan, ada antara mereka yang sanggup berhabis wang ringgit bagi menghantar anak- anak ke kelas tambahan atau tuisyen.

Bagaimanapun, terdapat segelintir ibu bapa yang melihat kecemerlangan zuriat mereka berdasarkan ukuran pendidikan semata-mata sehingga sanggup membuat perbandingan dengan kanak- kanak atau remaja lain.

Hakikatnya, jika ditelusuri dengan lebih mendalam, kejayaan itu bukan sahaja terletak semata-mata pada akademik tetapi juga keseimbangan akhlak dan spiritual.

Justeru, tidak menghairankan pada hari ini didapati cukup ramai generasi muda yang cemerlang dalam pencapaian lahiriah namun tandus kerohaniannya.

Terbaharu tular satu video di TikTok yang dimuat naik seorang ibu menerusi akaun Pakyadbendang yang memaparkan penghargaan terhadap anak keduanya.

Dalam hantaran tersebut, wanita itu memuji anak keduanya, Muhammad Zarif Naufal yang ringan tangan dalam menolongnya meskipun mempunyai kekurangan dari segi pembelajaran.

"Dalam sekolah terakhir, tapi rajin menolong ibu di kedai setiap hari.

"Balik sekolah wajib masuk kerja malam minta gaji,” katanya dalam video berkenaan.

Video tersebut meraih tanda suka sebanyak 75,000 daripada pengguna di laman TikTok tersebut.

Menurut seorang pemilik akaun bernama T Muaz, dia hanya mengharapkan anaknya memiliki sikap yang baik.

"Bila saya sudah jadi ayah ini, saya tidak minta anak jadi kaya akan tetapi cukup dengan mempunyai akhlak yang baik dan rajin menolong ibu bapa,” ujarnya dalam ruangan komentar status berkenaan.

Hantaran tersebut turut mendapat respons daripada seorang guru yang juga pempengaruh iaitu Cikgu Hailmi.

"Insya-ALLAH dengan sikap bagusnya itu, dia akan berjaya satu masa nanti dan saya doakan yang terbaik untuk dia,” jelasnya.

Sementara itu, individu bernama 777 berkata, alangkah baiknya jika sikap menghargai seperti itu ada pada ibu bapa yang lain.

"Kalaulah semua ibu bapa hargai anak macam ini...,” katanya.