Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ujar beliau dalam sidang Belanjawan 2024, pembayaran diskaun tersebut terbahagi kepada tiga jenis kategori.
"Pertama, diskaun sebanyak 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman sementara bagi kategori kedua adalah diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.
"Bagi kategori iaitu secara potongan gaji atau debit terus berjadual, sebanyak 15 peratus diskaun dikenakan,” katanya pada Jumaat.
Anwar juga menambah, bermula Januari tahun hadapan, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500 kepada semua bakal siswa yang layak.
Jelas beliau, usaha tersebut adalah bagi meringankan beban kewangan para penuntut.
"Saya tidak akan sama sekali mengizinkan, mahasiswa khususnya daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian.
"Siswa sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek,” ujarnya.
Ulas beliau, sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar.