Pengalaman dan kualiti dimiliki pemain-pemain Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20, Shah Alam, Selangor merupakan faktor utama membolehkan skuad bola sepak sekolah itu menjulang kejuaraan Piala Raja Muda Selangor 2023.
Malah pengendali SK Seksyen 20, Nik Juhaidi Tarmizi Juhari menyifatkan dua elemen itu juga memudahkan dia dan seorang lagi pengendali Muhammad Fadzli Baharudin merencanakan permainan pasukan.
Jelas Nik Juhaidi, secara keseluruhan para pemain menampilkan disiplin tinggi apabila melaksanakan perancangan taktikal dalam mengekang asakan pemain SK Taman Alam Megah, Shah Alam, Selangor.
"Disiplin tinggi para pemain membolehkan gol awal dijelmakan separuh masa pertama biarpun bermain dalam keadaan cuaca panas.
"Malah gol kedua pada separuh masa kedua juga terhasil daripada kemampuan pemain-pemain menterjemahkan perancangan pasukan semasa rehat babak pertama.
"Pengalaman para pemain beraksi bersama kelab masing-masing sekitar Shah Alam juga membantu pasukan merangkul kejuaraan tahun ini, selain fokus semasa sesi latihan sepanjang saingan," katanya.
Sementara itu, Fadzli menyifatkan kejayaan merangkul kejuaraan tersebut turut diiringi cabaran baharu bagi kempen edisi ke-35.
"Alhamdulillah syukur, SK Seksyen 20 berjaya merangkul Piala Raja Muda Selangor 2023. Biarpun begitu kejayaan ini juga hadir dengan cabaran baharu iaitu untuk mengekalkan kejuaraan bagi musim 2024.
"Bagi tujuan itu, saya dan coach Nik Juhaidi akan mengadakan pencarian bakat-bakat baharu lebih awal di sekolah.
"Kami akan melakukan penambahbaikan corak latihan, selain latihan berterusan untuk konsistensi. Paling penting mengekalkan tahap motivasi pemain pada tahap terbaik dengan mentaliti kemenangan," ujarnya.
Kemenangan 2-0 dalam perlawanan akhir di padang latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) itu membolehkan SK Seksyen 20 membawa pulang trofi, medal dan RM4,000, manakala SK Taman Alam Megah pula medal dan RM3,000.
Tempat ketiga pula milik SK Puchong, Puchong, Selangor yang membawa pulang RM2,000 selepas menewaskan SK Seri Selangor, Subang Jaya, Selangor (RM1,000), 1-0 bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Tabik semangat juang pemain SK Alam Taman Megah
Pengendali SK Taman Alam Megah, Mohamad Zool Hilmy Mohd Yusof dalam pada itu memuji semangat juang para pemain ketika berdepan pasukan pilihan SK Seksyen 20.
Malah, Mohamad Zool Hilmy mengakui warga sekolah itu juga berbangga pencapaian bergelar naib juara kejuaraan tersebut.
"Alhamdulillah... sangat berbangga dengan semangat juang mereka yang tenang dan sabar melaksanakan perancangan taktikal dalam menyekat penguasaan SK Seksyen 20.
"Pemain-pemain SK Taman Alam Megah juga mencipta deretan peluang keemasan menjaringkan gol tetapi gagal menterjemahkan setiap peluang dalam bentuk jaringan.
"Secara keseluruhannya pada edisi ke-34 kali ini banyak perubahan ketara yang dapat diubah kepada pemain-pemain dalam memahami prinsip permainan bola sepak secara individu mahupun cara bermain berpasukan.
"Selepas ini SK Taman Alam Megah akan kembali berfokus kepada program pembangunan bola sepak bawah umur 10 tahun,” tuturnya.
SK Seksyen 20 mara ke perlawanan akhir selepas membelasah SK Puchong, Puchong 6-0 dalam perlawanan separuh akhir di padang SK Putra Heights.
Sementara itu, SK Taman Alam Megah pula mencipta sensasi apabila menyingkirkan pasukan pilihan SK Seri Selangor, 1-0 di padang sama.
Piala Raja Muda Selangor edisi ke-34 yang menyingkap tirai 11 September lalu menyaksikan penyertaan 32 pasukan dari sekolah-sekolah di bawah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan Petaling Utama mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad.
Edisi kali ini melibatkan 640 pemain berusia bawah 12 tahun dianjurkan secara liga dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke pusingan 16 terbaik sebelum ke suku akhir, separuh akhir dan akhir.