Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia dan terbuka untuk mengkaji cadangan memperkenalkan pilihan raya melibatkan pemilihan pengawas di peringkat sekolah menengah sebagai usaha memperkasakan pendidikan literasi politik.
Timbalan menteri berkenaan, Lim Hui Ying berkata, cadangan berkenaan dilihat baik untuk pendedahan awal dalam literasi politik selaras dengan pelaksanaan Undi18.
"Cadangan berkaitan pemilihan pengawas itu amat baik, kami sedia untuk kaji cadangan itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang mencadangkan agar KPM meneliti kesesuaian melaksanakan pilihan raya melibatkan pemilihan pengawas di sekolah menengah sebagai sebahagian kurikulum literasi politik dan persediaan pengundi berumur 18 tahun. - BERNAMA