Meskipun menghidap autisme, seorang remaja berusia 13 tahun dikurniakan keistimewaan luar biasa apabila mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 18 bulan.
Kemampuan Yusof membuktikan kekurangan diri bukanlah penghalang untuknya mencipta kejayaan, sekali gus menjadi anak kebanggaan pasangan Mohamad Kamal Pakhrul Hisham Ismail, 50, dan Fazura Mohd Noor, 49.
Menurut Fazura, dia tidak pernah meletak harapan tinggi terhadap Yusof kerana menyedari kekurangannya apabila disahkan menghidap autisme ketika berusia dua tahun.
"Tapi di sebalik kekurangan ini, saya lihat ada kelebihannya iaitu daya ingatan yang kuat.
"Ketika berusia tiga tahun, dia mampu menghafal surah lazim hanya mendengar melalui radio atau televisyen,” katanya.
Fazura dan suami berbangga Yusof mampu menghafaz 30 juzuk ayat al-Quran dalam tempoh satu tahun enam bulan.
Fazura berkata, dia dan suami membuat keputusan menghantar anak kedua mereka ke sekolah berteraskan pengajian al-Quran ketika berusia tujuh tahun.
Ujarnya, kelebihan Yusof lebih terserlah selepas memulakan pengajian di Madrasah Tahfiz Az-Zein (MATAZ) di Senawang, Seremban, Negeri Sembilan tahun lalu.
"Saya memang tak sangka Yusof boleh menghafaz 30 juzuk al-Quran secepat itu, terima kasih kepada ustaz yang tahu kekuatan yang ada padanya.
"Ini anugerah ALLAH beri pada Yusof kerana kita yang normal pun belum tentu mampu buat sepertinya,” katanya.
Selain itu, menurut Fazura, Yusof sepatutnya perlu tinggal di asrama tetapi diberi kelonggaran memandangkan masih belum mampu berdikari sepenuhnya.
"Sejak kecil saya memperdengarkan alunan ayat al-Quran kepada Yusof dan sekarang 30 juzuk ini ada dalam kepalanya,” katanya.
Sementara itu, pembimbing program tahfiz MATAZ, Makmur Ibrahim berkata, Yusof adalah satu-satunya pelajarnya dikategorikan sebagai istimewa.
Katanya, kebanyakan pelajar mengambil masa sehingga tiga tahun untuk menghafaz 30 juzuk ayat al-Quran.
"Mula-mula tak perasan kelebihan yang ada pada Yusof tapi bila semak hafazan dia secara konsisten, saya tengok dia mampu ingat semuanya, tanpa lupa.
"Kalau nak cari kesalahan hafazan pada Yusof pun memang susah dan itulah kelebihan ALLAH kurniakan yang juga menjadi penenang jiwanya,” katanya.
Jelas Makmur, kini terdapat 28 pelajar lelaki berusia 13 hingga 20 tahun di madrasah terbabit dan mereka memahami keadaan Yusof yang tidak seperti insan normal lain.
Sumber: Sinar Harian