Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Jumaat dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari 2024.
Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan pada Jumaat, pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, hari ini.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan.
Mesyuarat itu turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Sementara itu, Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada Jumaat yang dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh semua Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.
Kenyataan itu menyebut menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja itu telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
"YAB Perdana Menteri juga telah dimaklumkan," kata Syed Danial.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong menjalankan pemerintahan kerajaan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai Ketua Utama Negara, bidang kuasanya merangkumi perundangan, eksekutif dan kehakiman.
Di sini, Sinar Bestari kongsikan senarai bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong menerusi rujukan Buku Teks Sejarah Tahun 5 untuk pengetahuan kita bersama.
1) Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Agama Islam bagi negeri baginda dan negeri-negeri tidak beraja iaitu Pulau Pinang, Melaka, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan.
2) Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri dan anggota kabinet Malaysia.
3) Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera.
4) Memelihara kepentingan sah kaum-kaum lain sebagai warganegara Malaysia.
5) Merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.
6) Memperkenankan Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh Parlimen.
7) Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memanggil, memberhentikan dan membubarkan Parlimen.
8) Yang di-Pertuan Agong mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat.
Berdasarkan bidang kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas dengan adil dan saksama.
Sumber: Buku Teks Sejarah Tahun 5