Suasana sesi pembelajaran yang kurang selesa disebabkan tiada bekalan elektrik dan kemudahan internet antara situasi yang terpaksa dihadapi murid dan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran di Pensiangan, Sabah.
SK Saliliran merupakan sekolah paling jauh di pedalaman dan terletak berhampiran sempadan Kalimantan, Indonesia, dikategorikan sebagai sekolah daif serta Sekolah Kurang Murid (SKM) kerana hanya mempunyai seramai 23 murid.
Tinjauan Sinar Harian mendapati struktur bangunan kelas yang diperbuat daripada kayu sudah semakin usang dan banyak kemudahan yang sepatutnya dinikmati murid tidak sampai kepada sekolah tersebut.
Sekolah itu juga ketiadaan kemudahan elektrik dan internet menyebabkan murid SK Saliliran belajar dalam suasana yang kurang kondusif.
Menurut Pengerusi Persatuan Guru dan Ibu Bapa (PIBG) SK Saliliran, Angim Sulah, 48, keadaan sekolah tersebut perlu diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana mereka berhak untuk mendapat pendidikan dengan lebih baik dan selesa walaupun berada di pedalaman.
"Bagi saya, banyak kemudahan perlu disediakan untuk sekolah ini termasuk bekalan elektrik. Mungkin boleh menggunakan tenaga solar terutama untuk aktiviti pembelajaran pada waktu malam bagi murid yang tinggal di asrama.
"Disebabkan tiada lampu, aktiviti pembelajaran pada waktu malam tidak dapat dilakukan dengan kerap. Kadang-kadang terpaksa bergantung dengan lampu suluh.
"Begitu juga pada waktu siang, murid kurang selesa untuk belajar kerana terpaksa berpanas disebabkan tiada kipas,” katanya ketika ditemui di Kampung Saliliran di sini pada Selasa.
Bangunan sekolah usang
Katanya lagi, akses telekomunikasi juga perlu ditambah baik kerana ketika ini beliau difahamkan guru di SK Saliliran hanya bergantung dengan penggunaan perkhidmatan jalur lebar kawasan luar bandar yang dibekalkan kerajaan.
"Tetapi ia agak terhad kerana hanya dibekalkan kuota sebanyak 5GB internet dan tidak mencukupi untuk kegiatan aktiviti pembelajaran murid di sekolah.
"Jadi kami berharap sekolah ini dapat diberikan perkhidmatan penyedia internet satelit yang lebih baik untuk kegunaan aktiviti pembelajaran dan tugasan murid,” katanya.
Angim berkata, pihak KPM juga perlu membuat penyelenggaraan terhadap bangunan sekolah yang sudah semakin usang.
"Sekolah ini ditubuhkan sejak tahun 60-an lagi, jadi sudah tentu bangunannya ada yang mereput dan kelihatan usang.
"Demi keselamatan murid di sekolah, bangunan ini perlu diselenggara atau dibina bangunan baharu,” katanya.
Menurutnya lagi, antara perkara lain yang menjadi kebimbangan penduduk di Kampung Saliliran dan sekitarnya sekiranya sekolah itu ditutup disebabkan murid semakin berkurangan susulan keadaan persekitaran tiada akses jalan untuk ke kampung itu.
"Saban tahun murid semakin berkurangan dan ini amat merisaukan. Jika tiada murid, mungkin sekolah ini akan ditutup dan menyebabkan anak-anak terpaksa bersekolah di tempat lain.
"Lebih merisaukan kami juga, ramai penduduk kampung sukar mendapat penempatan di luar apabila sudah berpindah dan menyebabkan anak-anak mereka tiada tempat tinggal seperti yang ada di sini,” katanya.
Difahamkan SK Saliliran hanya mempunyai seramai 23 murid termasuk tiga daripadanya murid pra sekolah dengan sembilan guru yang mengajar di sekolah itu.
Selain itu, hanya terdapat seorang sahaja murid bagi Tahun Dua dan biasanya kelas mereka digabungkan bagi memudahkan guru mengajar.