Semangat kesukarelawan dan komitmen menyokong inisiatif potongan cukai di bawah Subseksyen 34 (6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 telah dizahirkan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan program Wira Anti Rasuah anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada Selasa.
Program julung kali diadakan itu bertujuan memberikan pendedahan dan kefahaman tentang bahaya rasuah dan penerapan nilai-nilai membenci rasuah dalam kalangan murid sekolah.
Melibatkan seramai 93 murid dan 11 guru serta kakitangan, program telah dimulakan dengan taklimat antirasuah yang disampaikan Pegawai Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Kesavan Rathakrishnan.
Kemudian, program diteruskan lagi dengan sesi interaksi murid-murid dengan pegawai SPRM yang hadir.
Pada masa yang sama, turut diadakan juga aktiviti mewarna dan permainan susun suai gambar (puzzle) serta kemunculan ‘hero of the day’, Kapten MACC sekali gus menggamatkan lagi suasana program.
Sebelum itu, selain Kesavan, turut hadir dalam program tersebut ialah Guru Besar SJKT Jalan Bangsar, Nirmala Devaraj dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deleum Berhad, Ramanrao Abdullah.
Sementara itu, salah seorang murid, Moubani Sree Sowmangaly A/P Sowmangaly Rajaram Saravanan, 12, berkata, program berkenaan banyak memberikan manfaat kepada murid-murid untuk lebih memahami nilai-nilai baik seperti jujur dan amanah.
"Nilai-nilai berkenaan perlu diamalkan dalam usaha menolak rasuah sejak dari kecil lagi
"Terima kasih kerana menganjurkan program yang bermanfaat ini kepada murid-murid SJKT Jalan Bangsar,” katanya.