Jika sebelum ini anak ketiga daripada empat beradik seorang remaja yang aktif, namun segalanya berubah selepas disahkan menghidap masalah radang buah pinggang.
Pelajar Tingkatan Tiga sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungkai Baru, Melaka, Nur Najihah Mohd Fadzli, 15, menderita penyakit itu sejak Disember tahun lalu apabila sering tidak bermaya.
Ibunya Fasehha Radzuan, 34, yang juga suri rumah berkata, pada tahun lalu anaknya sering menunjukkan simptom batuk dan bengkak pada mata sebelum menerima rawatan di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan.
"Kini setiap minggu Nur Najihah perlu menjalani rawatan dialisis sehinggakan dia tidak mampu untuk ke sekolah seperti pelajar lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru di sini, pada Selasa.
Tambahnya, pihak hospital memaklumkan jalan terbaik bagi mengurangkan penderitaannya adalah melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang.
Ujarnya, setelah membuat 21 ujian padanan, buah pinggangnya didapati lebih sesuai berbanding suami, Mohd Fadzli Baharudin, 42, yang turut menghidap penyakit darah tinggi.
Kata Fasehha, pada awalnya anaknya itu boleh menjalani pembedahan di hospital kerajaan seperti di Hospital Selayang kerana tidak memerlukan kos tinggi namun perlu menunggu giliran.
"Kami mencari lokasi yang sesuai iaitu di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor dengan kos pembedahan dianggarkan mencecah RM50,000,” katanya.
Jelasnya, dia dan suami buntu kerana tarikh pembedahan semakin hampir iaitu pada 28 November ini, sedangkan suaminya hanya bekerja sebagai penyelenggara penapis air dengan gaji sekitar RM2,000 sebulan dan sukar untuk mengumpulkan wang sebanyak itu.
"Saya bersyukur selama ini kos ubat-ubatan, dialisis dan perbelanjaan harian turut dibantu oleh Lembaga Zakat Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meringankan beban.
"Namun besarlah harapan kami sekiranya orang ramai yang prihatin dapat membantu menampung kos pembedahan Nur Najihah tidak lama lagi,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB 7637954664 atas penama Fasehha Radzuan atau hubungi talian 017-6361073.