Pernah berdepan dengan kecederaan yang menyebabkan buku lali kaki kirinya terseliuh lalu bengkak, tidak mematahkan semangat Nurain Humaira’ Shaharuddin untuk terus terlibat aktif dalam sukan bola jaring.
Buktinya, walaupun kejadian pahit itu berlaku ketika berada di Tingkatan Lima namun dia yang kini meneruskan pembelajaran ke Tingkatan Enam masih lagi cekal bermain sukan berkenaan.
Kata Nurain, salah satu sebab mengapa dirinya masih bersemangat meneruskan sukan itu adalah kerana berasa seronok apabila bermain bersama rakan sekumpulan.
"Bola jaring mengajar saya untuk belajar bagaimana cara yang betul untuk berkomunikasi dan bermula dari situ saya belajar beberapa perkara lain.
"Bukan itu sahaja, melalui sukan ini juga saya mendapat sokongan daripada ahli pasukan yang sedikit sebanyak membantu diri untuk terus bersemangat menjalani latihan sekali gus bermain ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Bercerita lanjut tentang posisi yang sering dimainkan dalam sesuatu perlawanan, pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar Kota Tinggi, Johor itu memberitahu, sebelum ini dia bermain untuk posisi Penyerang Gol (GA) atau Penjaring Gol (GS).
Sepanjang bermain posisi tersebut, dia perlu berdepan dengan latihan yang agak mencabar lebih-lebih lagi apabila perlu membuat jaringan gol sebanyak 1,000 kali bagi melatih dan menyesuaikan diri ketika menjaringkan gol.
Akan tetapi, setelah melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam, dia turut diberi peluang untuk mencuba bermain di posisi Penyerang Sayap (WA).
"Kesemua posisi dalam bola jaring ini sama pentingnya untuk menerapkan tentang soal stamina.
"Kerana jika tiada stamina seseorang pemain akan mudah ‘pancit’ atau cepat penat sehingga akhirnya menyebabkan momentum permainan akan menjadi lemah,” jelasnya lagi.
Selain itu, ketika ditanya bagaimana penerimaannya jika berdepan dengan kekalahan, Nurain menjawab, dia tidak mudah menyerah malah ia dijadikan semangat untuk mempertingkatkan kebolehan diri bagi perlawanan seterusnya.
"Sekiranya kalah memang akan sedih, tapi disebabkan bermain dalam satu pasukan besar, kita perlu memberi sokongan antara satu sama lain.
"Jangan ambil kekalahan sebagai perkara yang boleh mematahkan semangat dan jadikan ia sebagai satu keyakinan untuk baiki lagi kemampuan diri.
"Perkara paling penting adalah untuk betulkan setiap ilmu yang diajar oleh jurulatih dan aplikasikannya dalam perlawanan seterusnya," ungkapnya. 7 pemain utama dalam sukan
bola jaring
Pertahanan
Gol (GD)
GD boleh menerima bola daripada hantaran tengah dan menjaga serta mengawal gerakan penyerang gol (GA). Penjaga Gol (GK)
GK menjaga GS pasukan lawan di dalam atau luar kawasan. Selain itu GK juga perlu bekerjasama dengan GD bagi memastikan pasukan lawan tidak dapat menjaringkan gol. Penyerang
Sayap (WA)WA menyerang dan tugas utamanya adalah menghantar bola dari tengah ke kawasan menjaringkan gol.
Pertahanan
Sayap (WD)
WD perlu menghalang gerak geri dan hantaran yang ditujukan kepada WA pasukan lawan.