UiTM anjur program Masscom Interactive Futuristic Activities, bantu kurangkan tekanan pelajar selepas sekian lama ikuti PdPR

Iklan
mifa
KUALA LUMPUR - Tempoh Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang agak lama dilaksanakan kerana pandemik Covid-19 sudah tentunya sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada pelajar dan ibu bapa.Sehubungan itu, seramai 25 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau, menganjurkan Masscom Interactive Futuristic Activities (MIFA 2022) bagi membantu mengurangkan tekanan belajar dalam kalangan pelajar, baru-baru ini.Program yang dianjurkan secara maya dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Awareness Against Suicide (AWAS) itu membabitkan 60 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendeta Za’ba, Seremban, Negeri Sembilan.Penolong Pengarah Program MIFA 2022, Faid Faris Roslan berkata, program itu diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kesihatan Mental yang disambut setiap tahun dan berkonsepkan futuristik."Walaupun dijalankan secara dalam talian, program ini sarat dengan pelbagai aktiviti interaktif yang mampu membantu pelajar untuk mengawal tahap tekanan mereka," katanya.Tambah Faid Faris lagi, program itu bukan sahaja memberi keseronokan kepada pelajar sekolah melalui pelbagai aktiviti yang diadakan tetapi turut membina keyakinan diri yang tinggi dan memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari kemahiran komunikasi yang baik."Program ini turut menjadi platform kepada pelajar sekolah untuk bersaing secara sihat antara satu sama lain dan dalam masa yang sama, ia turut digunakan sebagai peluang ‘berehat sebentar’ dan santai sebelum mereka kembali ke sekolah," ujarnya.Kongsinya lagi, walaupun program itu dianjurkan sebagai memenuhi keperluan pengajian, ia tetap meninggalkan seribu satu makna kepada pelajar UiTM kerana berpeluang menyumbang kembali kepada masyarakat."Kami juga mempelajari bagaimana menguruskan sesuatu program dengan baik selaras dengan Kursus Projek Professional (COM363) bagi pelajar semester akhir Diploma Komunikasi dan Media."Ia secara langsung, memupuk semangat kerjasama tinggi dalam kalangan organisasi selain dapat mengaplikasi kemahiran penyelasaian masalah dengan baik," jelasnya.Program MIFA 2022 dilaksanakan sepenuhnya menggunakan platfom Google Meet dan berlangsung pada pukul 8.30 pagi sehingga 5 petang merangkumi tiga sesi aktiviti interaktif.Pada akhir program, tiga pemenang utama dan tiga peserta terbaik dipilih berdasarkan prestasi mereka sepanjang program berlangsung.