Sering kita lihat rata-rata guru berkongsi gambar hiasan bilik darjah yang cantik lagi menarik namun lain pula ceritanya apabila melihat perkongsian seorang guru di Facebook.
Akaun milik Shahrizal Sha’ari itu memaparkan hiasan dan reka bentuk tandas di sekolah yang berkonsepkan ‘open air’ atau ala-ala tandas di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan telah berjaya menarik minat warga maya sehingga menerima ribuan tanda suka di laman aplikasi berkenaan.
Menurut Shahrizal Sha’ari, reka bentuk sedemikian dibuat untuk memastikan murid dapat menggunakan tandas dengan selesa dan dalam masa yang sama mampu mengurangkan sebarang bau yang tidak enak.
"Asyik hias bilik sahaja, mana tandas murid? Inilah salah satu projek tandas kami. Ada lagi tandas-tandas lain yang masih dalam proses untuk disiapkan.
"Jika sebelum ini, tandas sendu atau macam reban ayam sekarang lihatlah hasilnya. Murid tidak perlu rasa jijik ketika menggunakan tandas tersebut,” katanya dalam satu hantaran.
Tambahnya lagi, selain menggunakan konsep ‘open air’ itu, tandas lelaki tersebut turut dicat dengan warna biru, putih dan coklat supaya ia tampak lebih luas.
"Tidak perlu dekorasi yang keterlaluan dan tidak perlu tampak kata-kata hikmah atau peraturan sebab murid tidak akan baca.
"Apa yang penting adalah tandas yang siap memberi keselesaan dan boleh digunakan dengan tenang oleh semua murid di sekolah ini,” jelasnya.
Melihat perkongsian itu, Sinar Bestari sempat meninjau ke ruangan komen, rata-rata ibu bapa menyambut baik usaha tersebut yang dilihat dapat mengurangkan gejala negatif seperti vandalisme atau ponteng kelas.
Antara komen yang sempat dipetik adalah;
"Kurang masalah melepak, tak masuk kelas, merokok. Tandas pun cepat kering, bagus sangat konsep begini.”
"Rasa lagi elok tandas terbuka begini untuk mengelakkan murid-murid bermain dalam tandas. Nak buat kerja pembersihan pun mudah, senang cikgu nak pantau murid yang sering ke tandas.”
"Bagus konsep ‘open air’ ini, kurang sikit risiko vandalisme di tandas sebab orang boleh nampak.”