Seramai 260 alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Wilayah, Kuala Lumpur menghadiri Majlis Hi-Tea Bersama Alumni yang diadakan di dewan sekolah itu pada Sabtu.
Majlis Hi-Tea yang julung kali diadakan itu dianjurkan dengan kerjasama tiga pihak iaitu alumni, tenaga pengajar serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Puteri Wilayah.
Menurut kenyataan yang dikirimkan kepada Sinar Bestari, majlis bertemakan Sirih Pulang Ke Gagang tersebut bertujuan menghimpunkan mantan pelajar, warga pendidik dan kakitangan SMK Puteri Wilayah dalam suasana muhibah agar hubungan baik dan keakraban antara mereka terjalin semula.
Malah, penganjuran majlis sedemikian juga adalah sebagai satu usaha mengumpul dana bagi membantu pihak sekolah melaksanakan pelbagai aktiviti pelajar.
"Selain aktiviti pelajar, usaha mengumpul dana ini juga adalah untuk meningkatkan kemudahan sekolah kerana ada sesetengah daripadanya perlu dibaiki dan ditambah baik dari semasa ke semasa terutamanya kemudahan komputer dan pendigitalan sekolah yang masih jauh ketinggalan berbanding sekolah-sekolah lain di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” ujar kenyataan tersebut.
Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Yang Dipertua PIBG SMK Puteri Wilayah, Profesor Madya Dr Emilia Osman berkata, hasrat untuk menghidupkan jentera alumni bersama warga sekolah telah lama dirancang oleh pihak mereka.
"Tidak sangka perancangan ini akhirnya menjadi satu realiti.
"Oleh itu, besar harapan saya agar lebih banyak aktiviti bermanfaat bersama warga sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih rancak dengan penglibatan alumni,” ungkapnya.
Majlis Hi-Tea Bersama Alumni yang dirasmikan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Puteri Wilayah, Cikgu Norhayati Mahmud dilihat sebagai program bermakna dalam menyatukan insan-insan yang pernah menimba ilmu di sekolah tersebut.
Keterlibatan dan peranan alumni kepada pihak sekolah melalui sokongan kewangan dan moral juga adalah sangat signifikan dalam memacu kecemerlangan para pelajar.
Alumni menjadi suri teladan (role model) yang dapat menyuntik inspirasi dan mencurahkan manfaat kepada warga SMK Puteri Wilayah dalam usaha membentuk modal insan cemerlang duniawi dan ukhrawi.
Justeru, penganjuran majlis ini sememangnya tepat dalam menjalinkan tali ukhwah dan yang berkekalan antara alumni, sekolah dan PIBG.
INFO
1) SMK Puteri Wilayah ditubuhkan pada tahun 1965 dan dikenali dengan nama Sekolah Menengah Kampung Bharu (ketika itu).
2) Sekolah ini telah berjaya melahirkan ramai pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang.
3) Dengan kejayaan dan kecemerlangan yang diraih oleh pelajar dan alumni SMK Puteri Wilayah, mereka digalakkan tampil memberi sumbangan, bantuan, berkongsi ilmu, kemahiran dan kepakaran serta pengalaman masing-masing kepada pihak sekolah.