Mata merupakan salah satu pancaindera anugerah ALLAH kepada setiap manusia untuk melihat dan menikmati keindahan ciptaan-NYA.
Namun anugerah ini tidak dikurniakan kepada semua dan untuk itu mereka yang masih mampu untuk menggunakan deria penglihatan hendaklah bersyukur serta menjaganya dengan baik.
Dalam konteks kesihatan mata ini, tahukah anda terdapat pakar yang khususnya bertanggungjawab mengesan setiap masalah atau penyakit yang dihadapi oleh setiap manusia melibatkan mata.
Terdapat tiga pekerjaan profesional dalam dunia kesihatan mata yang mungkin pernah anda dengar akan tetapi masih keliru dengan fokus sebenar kerjaya berkenaan.
Untuk itu, edisi kali ini Sinar Bestari kongsikan tiga kerjaya kesihatan mata dan perbezaannya untuk dijadikan rujukan buat mereka yang berminat untuk meneruskan pengajian dalam bidang kesihatan mata. Berikut adalah senarainya.
1) Optometris
Optometris merupakan seorang pengamal kesihatan mata yang terlatih dan profesional.
Tugas utamanya adalah memeriksa dan mengesan masalah penglihatan bagi semua peringkat umur bermula bayi sehingga dewasa.
Tidak hanya itu, optometris juga mengesan masalah rabun mata dekat, jauh, juling dan mengesan penyakit mata lain seperti mata merah, glaukoma, katarak, retinopati diabetik dan lain-lain lagi.
Justeru, optometris ini akan menentukan rawatan bersesuaian dengan kes sama ada penggunaan cermin mata, kanta lekap, kanta prisma, latihan mata atau terapi visual dan turut memberikan nasihat tentang jenis kanta, cermin mata bersesuaian dengan jenis rabun atau masalah mata.
Bagi optometris, mereka hendaklah menerima pendidikan khusus tentang mata dan terlatih dalam menjalankan pemeriksaan mata semasa mengikuti ijazah Optometrin empat tahun di pusat pengajian awam atau swasta.
2) Oftalmologis
Jika seseorang pesakit memerlukan rawatan mata yang melibatkan pembedahan, optometris akan terus merujuk kepada oftalmologis.
Oftalmologis adalah pakar mata yang juga merupakan pegawai perubatan khususnya dalam bidang penyakit mata.
Oftalmologis dapat memberikan perkhidmatan penjagaan mata secara menyeluruh seperti menjalankan pemeriksaan mata, mengesan dan merawat penyakit mata dengan ubat-ubatan atau kaedah pembedahan mata.
Dalam bidang ini turut terdapat beberapa sub kepakaran lanjutan lain antaranya Medical Retina, Vitreo Retina, Glaukoma, Kornea, Oculoplasty, Neuro Ophthalmology and Ophthalmology Peadiatric/Strabismus.
3) Optician atau Juruoptik
Optician atau juruoptik bertugas sebagai pembantu dalam memilih jenis kanta atau bingkai cermin mata yang sesuai bergantung kepada saiz, bentuk, warna dan gaya seseorang.
Di negara luar seperti Amerika, Australia dan Kanada, hanya optometris dan oftalmologis sahaja yang dibenarkan memeriksa mata, menentukan kuasa rabun dan memasang kanta lekap.
Namun di Malaysia, hanya juruoptik berdaftar sahaja yang lulus peperiksaan dikendalikan oleh Majlis Optik Malaysia (MOC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi keistimewaan untuk memberi perkhidmatan kanta lekap.
Selain itu, setiap juruoptik berdaftar juga perlu mempamerkan sijil keluaran MOC pada ruang premis mereka di bawah Akta Optik (1991) mengikut tiga kategori iaitu Sijil Pendaftaran Penuh, Sijil Praktis Tahunan dan Sijil Nama Bergambar.