Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini, mengumumkan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang akan bermula pada 5 Disember 2023 hingga 7 Mac 2024.
Peperiksaan SPM akan dimulai dengan Ujian Amali Sains pada 5 hingga 7 Disember, Ujian Bertutur Bahasa Melayu (8-11 Januari 2024), Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17-23 Januari 2024) serta Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (29 Januari 2024).
Manakala Ujian Bertulis berlangsung bermula 30 Januari hingga 7 Mac 2024.
Memandangkan tarikh SPM semakin hampir, Sinar Bestari yakin semua calon sudah mula merasai debaran peperiksaan.
Debaran yang tidak teratur dan tidak dikawal dengan betul pastinya membuatkan persiapan calon SPM terganggu.
Oleh itu, semua calon perlu mengambil debaran ini dari sudut positif dengan menyediakan jadual waktu dan pengurusan masa yang baik.
Pakar Motivasi, Mohd Nadzri Abdul Rahman berkata, setiap calon peperiksaan perlu berusaha gigih dalam memastikan diri mampu mencipta kejayaan cemerlang dalam SPM.
"ALLAH melihat usaha, bukannya hasil. Bila anda sudah berusaha dan melakukan yang terbaik pastinya kejayaan terhasil.
"Nasihat saya, bacalah buku berulang kali tanpa jemu. Jadikanlah bahan bacaan itu sebagai sahabat akrab sehingga kita mahir ilmunya,” katanya kepada Sinar Bestari.
Mohd Nadzri yang juga Pengarah Eksekutif Harith Mind Excel Centre berkata, calon-calon SPM perlu menanam lima ingatan dalam diri masing-masing sebelum berlangsungnya peperiksaan itu.
Lima ingatan yang dimaksudkan Mohd Nadzri yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia adalah 3S dan 2I.
3S itu terdiri daripada
1) Sendiri: Kita tidak boleh ubah sesuatu sebelum kita membuat perubahan kepada diri sendiri terlebih dahulu.
2) Sedikit: Untuk mengubah atau melakukan sesuatu, kita perlu melakukan sedikit demi sedikit dan kemudian, menambah agar semua perkara mampu dilakukan dengan konsisten.
3) Sekarang: Semua perubahan ke arah kebaikan pastinya perlu dilakukan dengan segera. Jika tidak, kita akan tertinggal dengan melihat orang lain sudah berlari tetapi kita masih berjalan.
Manakala 2I adalah
1) Ikhlas - Ikhlas perlu ada pada hati setiap calon SPM. Keikhlasan diri dalam menuntut ilmu dapat memudahkan pelajaran diterima dan mendapat keberkatan ALLAH.
2) Istiqamah - Istiqamah dalam membuat perubahan yang baik dan konsisten serta berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan kejayaan.