Guru Pendidikan Khas dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai, Johor, Cikgu Muhammad Ezwan Mohd Alikusbari, berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pendidikan, Pendidikan Khas, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali gus diraikan pada Majlis Istiadat Konvokesyen UPSI kali ke-25 di Dewan Tuanku Canselor universiti itu di Perak.
Beliau yang dikategorikan mempunyai masalah ketidakupayaan penglihatan, berjaya membuktikan kekurangan diri bukanlah halangan untuk menempa kejayaan di peringkat tertinggi.
Kongsi anak kelahiran Johor itu, ketidakupayaan penglihatan yang dialami sejak kecil bukanlah alasan untuk berputus asa, sebaliknya menjadi pembakar semangat melakar kecemerlangan dalam bidang yang diikuti di UPSI.
"Saya mengalami ketidakupayaan penglihatan sejak kecil lagi. Bagaimanapun pada ketika itu, saya masih mampu melihat objek bersaiz besar.
"Namun sejak tahun 2018, penglihatan saya kabur kemudian hilang terus sampailah sekarang," kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
Cikgu Muhammad Ezwan, 27, yang pernah mewakili Johor dalam Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 berkata, mereka yang berstatus orang kurang upaya (OKU) perlu belajar lebih daripada individu normal untuk mendapat banyak peluang pekerjaan di luar sana.
"Sebagai OKU, kita mesti belajar dan terus belajar tanpa jemu demi mencipta apa sahaja impian yang kita inginkan," jelasnya.
Cikgu Muhammad Ezwan yang menjadikan Pakar Ekonomi, Profesor Datuk Dr Ismail Md Saleh sebagai sumber inspirasi, melahirkan hasrat mahu menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) bagi menimba pelbagai ilmu pengetahun.
Namun katanya, hasrat itu mungkin tidak direalisasikan buat masa sekarang kerana mahu memberi tumpuan kepada kerjaya pendidik terutama dalam bidang pendidikan khas (ketidakupayaan penglihatan).
Ditanya mengenai cabaran sepanjang mengikuti pengajian, Cikgu Muhammad Ezwan berkata, ujian dan dugaan buat mereka yang mengalami masalah ketidakupayaan penglihatan cukup besar terutama dalam mendapatkan bahan rujukan.
"Saya tidak dapat membaca buku-buku bercetak, sebaliknya hanya bergantung kepada jurnal-jurnal dalam talian, Microsoft Power Point dan koleksi nota dibekalkan pensyarah.
"Syukur alhamdulillah, saya dibantu ramai pihak terutama rakan-rakan sekelas dan mereka sentiasa menghulurkan bantuan apabila diperlukan,” tutur anak pasangan Mohd Alikusbari Salleh dan Latifah Hussein itu.
Akhir sekali, guru muda ini merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh ahli keluarga yang sentiasa menjadi sistem sokongan kuat buatnya sehingga beliau mampu berdiri sendiri seperti hari ini.
"Mereka adalah kekuatan saya sejak dulu sampai sekarang. Tanpa pengorbanan dan kasih sayang serta perhatian daripada mereka, mana mungkin saya berjaya menamatkan pengajian sarjana ini,” ujarnya.