Bayaran balik PTPTN adalah tanggungjawab

Iklan
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd Yusof Apdal. Kredit foto: BERNAMA

Rakyat Malaysia secara umumnya bersetuju bahawa bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah satu tanggungjawab, akauntabiliti dan keadilan yang perlu dipenuhi oleh peminjamnya.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, maklum balas itu diperoleh daripada penganjuran Hari Terbuka Pendidikan Tinggi yang berlangsung pada 23 Oktober lepas.

Iklan
Iklan

"Malangnya kita berdepan dengan ramai peminjam yang tidak bertanggungjawab sekali gus menyebabkan tidak ada keadilan.

"Maknanya dia dah pinjam untuk belajar, bila dah berjaya dan ada kerja, dia tak bayar,” katanya.

Iklan

Justeru, beliau menggalakkan orang ramai untuk hadir ke Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil mulai esok hingga Ahad bagi mendapatkan khidmat konsultansi menguruskan pembayaran selain menikmati diskaun bayaran balik sehingga 15 peratus.

"Kerajaan telah meluluskan diskaun ini bermula 14 Oktober lalu hingga 31 Mac 2024, namun masih ramai yang tidak mengambil peluang ini. Bagi pengunjung yang membuat bayaran semasa program berlangsung, ada hadiah istimewa yang diberikan.

Iklan

"Selain diskaun PTPTN, urusan pembukaan akaun serta penambahan deposit simpanan SSPN juga turut disediakan,” katanya.

Mengenai tawaran secara terus bagi kemasukan ke universiti awam, politeknik dan kolej komuniti terpilih, Yusof berkata, bagi calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang belum mendapat tempat pengajian boleh hadir ke reruai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

"Sila bawa bersama kad pengenalan dan salinan SPM bagi kemasukan ke Program Sepenuh Masa Sesi II 2023/2024. Bagi calon yang tiada (sijil) SPM dan berminat untuk sambung belajar juga dialu-alukan untuk hadir ke reruai KPT.

"Sebab di sana, kita ada program di bawah Kolej Komuniti yang kita namakan sebagai Pembelajaran Sepanjang Hayat, ini juga akan berikan peluang kepada mereka yang tiada kelulusan minimum untuk mendapatkan peluang kedua di bawah program Kolej Komuniti,” katanya.

Terdahulu, KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan akan menawarkan sebanyak 24,500 tempat pengajian di politeknik, kolej komuniti dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersempena dengan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani.

Tawaran itu meliputi 24,000 tempat pengajian secara tawaran terus ke program peringkat diploma dan sijil di politeknik atau kolej komuniti terpilih manakala 500 lagi di lima program pradiploma UiTM untuk pemohon terutama daripada golongan B40.

Yusof juga berharap orang ramai hadir bagi memeriahkan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani khususnya ke reruai KPT serta menikmati khidmat dan tawaran yang disediakan.

"Kita di peringkat KPT harapkan supaya program yang telah disusun ini untuk rakyat supaya mereka dapat mengetahui dengan lebih meluas mengenai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani.

"Sumber maklumat yang sahih amat penting untuk diperoleh jadi sebab itulah melalui program seperti inI adalah tempat untuk kita mendapatkan maklum balas daripada rakyat dan mereka dapat bertemu serta bersemuka dengan pihak kementerian, jabatan dan agensi yang bertanggungjawab,” katanya. - Bernama