Hui Ying kini Timbalan Menteri Kewangan

Iklan
Hui Ying (kiri) bersama Fadhlina (kanan) yang merupakan rakan seperjuangannya ketika mereka dilantik Ahli Dewan Negara mewakili Pulau Pinang.

Pelantikan Lim Hui Ying sebagai Timbalan Menteri Kewangan menerusi Kabinet baharu 2023, di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut dengan perasaan gembira dan penuh semangat.

Kongsi Hui Ying, pelantikan itu merupakan satu cabaran baharu yang memerlukan kebijaksanaan, kesungguhan dan komitmen individu itu sendiri.

Iklan
Iklan

Hui Ying yang sebelum ini menggalas jawatan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan memaklumkan, beliau akan menunaikan segala amanah berlandaskan dasar Kerajaan Perpaduan dan visi Perdana Menteri serta prinsip-prinsip integriti yang mulia.

"Saya akan memikul amanah dan tanggungjawab yang penting ini dengan sebaik mungkin dan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Ikuti catatan ikhlas Hui Ying mengenai pelantikan dirinya sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan ucapan penghargaan kepada insan-insan yang sangat bermakna di sekeliling beliau.

*****

Iklan

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan melantik saya sebagai Timbalan Menteri Kewangan bagi membantu dalam usaha pembangunan negara.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti DAP terutama Setiausaha Agung merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mencadangkan nama saya untuk dilantik menjadi Timbalan Menteri yang mempunyai tanggungjawab yang berat ini.

Pelantikan ini merupakan satu cabaran baharu dan saya akan cuba sedaya upaya untuk menunaikan amanah berlandaskan dasar Kerajaan Perpaduan dan visi Perdana Menteri serta prinsip-prinsip integriti yang mulia.

Harapan rakyat adalah sangat tinggi dan barisan menteri dan timbalan menteri Kerajaan Perpaduan diberi tanggungjawab untuk memperjuangkan kebaikan rakyat dan negara.

Portfolio Timbalan Menteri Kewangan merupakan portfolio kedua saya sejak tahun 2022. Pengalaman sebagai Timbalan Menteri Pendidikan akan membantu saya menjalankan tugas berkaitan perbendaharaan negara bersama dengan Menteri Kewangan.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang merupakan rakan seperjuangan saya sejak pelantikan kami sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Pulau Pinang.

Beliau telah mengamanahkan tugasan dan tanggungjawab yang penting dalam KPM kepada saya selama ini. Saya yakin, beliau akan terus memimpin kementerian terbesar ini dengan baik dan menjayakan ‘7 Teras Utama’ dalam menerajui sistem pendidikan negara.

Saya juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Setiausaha KPM, Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi; mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali; seluruh barisan pimpinan warga kerja KPM; kakitangan pentadbiran dan sokongan di Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan; pihak lembaga pengelola sekolah serta pihak sekolah yang memberikan khidmat nasihat dan kerjasama sepenuhnya sepanjang setahun ini.

Tidak lupa juga kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan terutamanya Pengerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai Kim; Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Cheah Lek Aee; Tamil Foundation Malaysia dan ramai lagi pemimpin-pemimpin NGO lain.

Terima kasih atas dedikasi, komitmen dan kerjasama anda semua dalam memperjuangkan isu-isu pendidikan demi semua anak Malaysia.

Saya akan memikul amanah dan tanggungjawab penting ini dengan sebaik yang mungkin dan memberikan keutamaan, komitmen tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia”.