Pasukan inovasi bagi sesebuah sekolah pastinya sentiasa menghasilkan pelbagai produk menarik atau bahan bantu mengajar untuk kegunaan tertentu.
Inovasi yang dibangunkan pelajar kebanyakannya layak dipertandingkan, namun ada antara mereka tidak menghantar penyertaan disebabkan faktor-faktor tertentu.
Penerima Anugerah Guru Inovatif Negeri Sembilan 2013, Cikgu Siti Zubaidah Musa berkata, setiap peserta yang menghasilkan produk atau inovasi layak menyertai pertandingan anjuran setiap peringkat.
"Tiada inovasi yang dikatakan kecil atau besar, baru boleh disertai sebaliknya setiap inovasi yang memerlukan idea, perbincangan dan usaha menghasilkannya boleh memohon sebagai peserta,” kata Cikgu Siti Zubaidah selaku Guru Pemulihan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Maharani, Muar, Johor.
Menurut Cikgu Siti Zubaidah, ada beberapa tip penting yang perlu guru dan pelajar ketahui sekiranya ingin menyertai pertandingan inovasi.
Lima tip penting itu terdiri daripada
1) Mulakan dengan penyelesaian dalam permasalahan yang berlaku dalam sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC)
Ramai cikgu ingin menghasilkan inovasi tetapi tidak fokus dengan masalah yang berlaku dalam lingkungan persekitaran sendiri. Fikirkan tentang permasalahan, baru timbulnya penciptaan.
Dengan erti kata lain, tanya pada diri sendiri, relevankah inovasi yang dihasilkan?
2) Mesti uji dahulu
Setiap inovasi perlulah dicuba atau diguna dahulu sebelum dipertandingkan kecuali persembahan idea inovasi.
Jalankan ujian sebelum dan selepas bagi mendapatkan keputusan bahawa inovasi tersebut mampu memberi manfaat kepada permasalahan yang timbul.
3) Novelti
Keaslian sesuatu inovasi adalah penting bagi mengiktiraf idea kreatif cikgu, bukan diciplak bulat-bulat daripada hasil orang lain.
Namun begitu, inovasi yang sama atau pernah dipertandingkan dalam mana-mana pertandingan perlulah mempunyai eviden atau bukti penambahbaikan daripada yang terdahulu atau asal bagi mengelakkan dikatakan mencuri atau plagiat karya orang lain.
4) Papan cerita inovasi, laporan penulisan atau kertas kerja
Bahagian ini mungkin ramai yang lepas tangan atau malas fikir, tetapi, perkara ini adalah penting sebagai bahan sokongan utama menterjemahkan inovasi guru.
Setiap pertandingan inovasi mungkin berlainan formatnya tetapi pada asasnya inovasi yang guru hasilkan perlu mempunyai latar belakang permasalahan, pengenalan inovasi, pemerhatian terhadap penggunaan dan paling penting impak inovasi kepada kemenjadian murid.
5) Kos
Diakui, ada inovasi yang hebat memerlukan pembelian barangan atau aplikasi berbayar dan begitulah sebaliknya.
Cuma jika boleh, elak menghasilkan inovasi menggunakan kos yang tinggi.