Kolaborasi bersama anak muda

Iklan
Penguasaan kemahiran bekerjasama bagi setiap anak-anak muda ini juga dilihat sebagai satu aset dan modal terpenting bagi memajukan diri. Gambar kecil, Syamsul Amri.

Mewujudkan suasana berfikir dalam kalangan orang muda terutama para pelajar merupakan satu usaha berterusan dan perlu dilakukan secara konsisten.

Sedari kecil, anak-anak didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan alat kerja demi menyediakan mereka mendepani masa depan semakin kompleks dan mencabar.

Iklan
Iklan

Perubahan keperluan anak-anak muda jelas boleh dlihat dengan perubahan kaedah pembelajaran dan mendidik di sekolah mahupun di pusat pengajian tinggi.

Karya hebat sarjana dan ulama tersohor, Dr Abdullah Nasih Ulwan bertajuk ‘Pendidikan Anak-Anak’ turut memerihalkan kepentingan proses pendidikan anak-anak seawal usia, bagi mempersiapkan mereka dengan kemahiran yang perlu dan relevan.

Iklan

Satu masa dahulu sekitar tahun 1960-an, kerajaan memperkenalkan konsep 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira.

Para pelajar diberi penekanan kaedah dan kepentingan menguasai kemahiran membaca, menulis serta mengira dan ia diterjemahkan ke dalam pelbagai aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum.

Iklan

Penyediaan buku teks secara percuma misalnya sebagai galakan kepada membudayakan aktiviti membaca dalam kalangan para pelajar.

Ia diperkukuhkan lagi dengan subjek asas lain seperti Matematik (ilmu hisab ketika itu) bagi mempelbagaikan punca kemahiran kepada para pelajar.

Penulis juga menerima manfaat langsung terhadap langkah yang diambil oleh kerajaan ketika itu.

Membawa pengamatan ke zaman terkini di mana pelajar yang melalui zaman 3M tersebut kini berada di kedudukan tertentu dalam organisasi, mahupun mereka yang memilih untuk menjadi usahawan mahupun ahli perniagaan.

Para pelajar ini sedang mendepani suasana yang jauh berbeza di mana mereka tidak lekang dengan gajet.

Ikut kategori

Pengkategorian generasi oleh pakar-pakar gelagat sosial (social behaviourist) meletakkan kumpulan anak-anak yang dilahirkan pada tahun 2000, misalnya dalam kategori Milinial Z atau MZ dengan cara mereka melihat kehidupan berbeza.

Misalnya, kerjaya tetap bukan suatu yang diinginkan oleh kumpulan ini.

Penguasaan kemahiran bekerjasama bagi setiap anak-anak muda ini juga dilihat sebagai satu aset dan modal terpenting bagi memajukan diri.

Penulis pernah membaca sebuah karya purba tulisan Ahli Falsafah Rome, Marcus Ceciro di mana karya berusia hampir 2,000 tahun, menyatakan salah satu kaedah untuk mencapai rasa bahagia adalah menjaga hubungan baik dengan orang lain.

Karya bertajuk ‘How to Be A Friend’ ini antara lain menyatakan pesanan yang berbunyi, ‘Make new friends, keep the old ones’.

Ia bermaksud teruslah mencipta kenalan baharu dan pada masa yang sama menghargai dan menjaga kenalan sedia ada.

Kepentingan memahami minda kolaborasi ini jelas diperkatakan di dalam dokumen utama kerajaan menerusi akronim yang kini semakin diperkatakan umum.

Madani atau terma lengkapnya Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan, jelas menekankan pembinan negara bangsa melalui ilmu dan kemahiran.

Kita ambil satu contoh di bawah dimensi Hormat. Mengkaji dokumen rasmi kerajaan yang boleh dicapai di laman sesawang rasmi kerajaan memerihalkan satu kemahiran penting bagi mengangkat rasa hormat adalah kemampuan untuk saling menghormati kepelbagaian dan perbezaan.

Kemahiran yang semakin penting dalam memacu negara yang stabil dan dihormati dengan mempelajari serta menguasai kemahiran berinteraksi dalam kalangan circa atau khalayak yang berbeza latar.

Suasana dan persekitaran pembelajaran anak-anak muda baik di sekolah mahupun di kolej atau institut pengajian tinggi (IPT) kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Sama ada berbentuk infrastuktur seperti bangunan dan fasiliti; kemudahan berbentuk program, modul, sistem sokongan sama ada daripada guru, pensyarah mahupun dalam kalangan ibu bapa serta seumpamanya.

Setiapnya itu memerlukan jalinan kerjasama dan kolaborasi pelbagai pihak bagi menjayakan setiap usaha atau inisiatif.

Kerjasama erat dan saling berkolaborasi merupakan satu Critical Success Factor atau Faktor Kejayaan Kritikal.

Mendepani masa depan yang semakin berwarna warni di saat kepesatan teknologi tidak memungkinkan apa jua usaha itu berhasil jika tiada usaha sama sebagai dasar dan premis gerak kerja.

Penulis ingin memetik satu pesanan ulama nusantara tersohor, Buya Hamka yang pernah berpesan tentang menjaga hubungan yang baik dalam kalangan sahabat dan kenalan.

"...Dengan apa yang membuat orang menjadi tertarik? Dengan budi yang tinggi, kesopanan, ilmu pengetahuan yang luas, kesanggupan menahan hati pada perkara yang belum disepakati, dengan kecerdasan, kecepatan menarik kesimpulan, kebagusan susun kata, kepandaian menjaga perasaan orang dan kesanggupan menenggang. Kumpulan sifat dan kelebihan itu menimbulkan daya tarik. Hal itu dapat dipelajari dengan pergaulan yang luas dan juga karena diwarisi..’ (halaman 11, Pribadi Hebat 1950)

Tentunya pesanan malar segar sebegini boleh diangkat ke pelbagai peringkat pelaksanaan dan tidak hanya terhad dalam kalangan kenalan atau sahabat handai dan saudara mara semata-mata.

Pepatah Inggeris pula berbunyi, ‘If one wants to go fast, go alone. If one wants to go far, go together’. Jika seseorang ingin bergerak cepat, bergerak sendirian. Manakala supaya seseorang itu boleh pergi jauh, makanya bergerak dalam pasukan.

Petikan pesanan-pesanan di atas sebagai premis mengukuhkan kefahaman dan kepentingan bahawa dalam kehidupan setiap dari kita perlu bergerak dan bekerja dalam pasukan.

Mana mungkin ia boleh berlaku sekiranya skil set membina jaringan atau networking ini tidak dikuasai dan diperkasa secara berterusan.

Tiada siapa boleh hidup bersendirian. Pepatah Inggeris yang berbunyi, ‘life is to complete, not just to compete’ menjelaskan kita saling menyokong dan memerlukan.

Tiga soalan utama

Bagi memantapkan kefahaman sidang pembaca khususnya dalam kalangan anak-anak muda dan pelajar, penulis berkongsi pengalaman semasa berada di dunia korporat ketika mengendalikan sesi-sesi temu duga untuk calon pekerja.

Tiga soalan yang penulis kerap ajukan iaitu nama Naib Canselor/Pengarah Kolej, maklumat media sosial calon yang ditemu duga dan yang ketiga berkenaan buku yang telah atau sedang dibaca oleh calon tersebut.

Soalan-soalan asas ini penulis jadikan panduan bagi mencapai makna dan memahami karakter calon yang umumnya dalam kalangan orang muda.

Meskipun masih ada dalam kalangan calon yang mengamalkan 3K iaitu kelas, kafe dan katil serta tidak bergaul dengan orang lain namun lebih ramai yang mampu menjawab dengan baik soalan-soalan tersebut sebagai petunjuk bahawa mereka mengambil peluang untuk berinteraksi dan berkolaborasi semasa tempoh pengajian.

Penekanan kepada keterlibatan pelajar dengan aktiviti tambahan bukan sahaja memperkaya kemahiran individu bahkan ia akan melatih anak-anak muda untuk lebih bersedia dengan kemahiran-kemahiran penting seperti mengurus perbezaan dalam kalangan rakan-rakan, kemahiran mengutamakan hubungan baik dan bukannya kemahuan untuk kelihatan sentiasa betul dan hebat serta kemahiran-kemahiran generik yang lain.

Kerap kita dengar keluhan dan perkongsian dalam kalangan majikan berkenaan kelompongan skil atau kemahiran para pelajar ketika sesi temu duga mahupun ketika menghadiri sesi latihan industri atau praktikal.

Anak muda dianggap tidak memiliki kemahiran yang diperlukan seperti berbual-bual atau menyampaikan satu-satu poin penting apabila diajukan dengan soalan.

Di sini terletaknya kepentingan bagi anak-anak muda terutama para pelajar meluaskan khalayak yang didampingi dan tidak hanya berpada dengan rakan-rakan yang sekufu atau sama cita rasa semata-mata.

Menambah khalayak atau kenalan yang perlu didampingi ini akan membantu menjelaskan lagi bahawa di luar sana terdapat pelbagai ragam dan gelagat ahli masyarakat yang perlu disantuni dengan baik.

Tiga kaedah mudah yang boleh dimulakan oleh anak-anak muda terutama dalam kalangan pelajar di sekolah dan IPT termasuk yang berikut:

1) Penglibatan di dalam aktiviti tambahan di luar sekolah atau kampus pengajian. Kerja kumpulan atau program Bakti Siswa misalnya akan mendedahkan para pelajar kepada kemahiran merancang dan berkomunikasi di dalam aktiviti komuniti.

2) Mendampingi orang-orang bijaksana dalam kalangan mereka yang lebih dewasa.

3) Memilih bahan bacaan terpilih yang mampu mendorong dan merangsang budaya berfikir dan analitik.

Tulisan ini diakhiri dengan satu pesanan Baginda Nabi SAW yang sering kita ungkapkan tentang manusia itu dijadikan yang terbaik dan untuk memberi manfaat pada orang lain. Nabi bersabda di dalam satu Hadis yang bermaksud,

‘Sebaik-baik manusia itu adalah dia yang memberi manfaat pada orang lain” - (HR Ahmad)

Justeru, penulis menyeru pembaca meneruskan azam dan iltizam agar negara tercinta ini akan terus menjana bakat dan kemahiran kendiri dalam berkolaborasi sesama individu tanpa mengira adat dan budaya, lokasi mahupun generasi umur.

Maklumat Penulis

Jurulatih Bertauliah dan Penulis Buku, Syamsul Amri A Razak

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my