Konvokesyen Cilik di pentas UM

Iklan
Salah seorang murid SK 1 Selayang Baru, Batu Caves, Selangor menerima skrol di pentas UM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seramai 36 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) 1 Selayang Baru, Batu Caves, Selangor diberi peluang menjejakkan kaki ke Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) bagi mengikuti sebuah program unik, baru-baru ini.

Guru Besarnya, Mohd Rizal Rais berkata, program Konvokesyen Cilik itu menyaksikan murid dirai seperti seorang graduan universiti, dengan memakai topi ‘mortarboard’ dan menerima skrol di atas pentas setelah nama mereka dipanggil satu persatu, persis di majlis konvokesyen sebenar.

Iklan
Iklan

"Walaupun hanya dibuat secara ringkas, saya gembira melihat riak wajah anak-anak ini yang sangat teruja menerima gulungan skrol di atas pentas dewan tersohor berkenaan.

"Kebanyakan daripada mereka adalah anak yatim dan asnaf. Jadi peluang sebegini pastinya meninggalkan kesan mendalam dalam diri mereka,” kata Mohd Rizal Rais yang turut hadir di Dewan Tunku Canselor, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UM, Profesor Madya Ir Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, program tersebut turut menampilkan perarakan melibatkan dekan dan pengurusan tertinggi universiti yang dilakonkan oleh mahasiswa UM membabitkan pelbagai latar belakang fakulti.

"Saya bersyukur program yang julung kali diadakan ini berjaya dilaksanakan walaupun dalam masa yang singkat.

Iklan

"Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuklah Jabatan Pendaftar, Keselamatan, Fakulti Seni Kreatif dan sukarelawan dalam kalangan mahasiswa UM.

"Walaupun terkekang dengan kesibukan musim konvokesyen, namun program kemasyarakatan yang berhasrat untuk membina motivasi murid-murid sekolah ini berjaya dilaksanakan,” kata Nahrizul Adib yang turut melakonkan watak Pro-Canselor dalam program berkenaan.

Murid SK 1 Selayang Baru, Batu Caves bergambar kenangan bersama warga UM di pentas Dewan Tunku Canselor, UM.

Nahrizul Adib berkata, objektif utama program itu diadakan adalah kepentingan kepada murid SK 1 Selayang Baru untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa juga bidang yang diceburi.

"Kejayaan bukan hanya diukur dari sejauh mana kemampuan kita melanjutkan pelajaran, namun yang lebih penting iltizam menjadi insan berguna dalam segenap hidup bermasyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Nain Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman mengakui yakin bahawa program ini mampu meletakkan institusi tersebut sebagai peneraju dalam usaha mendekati masyarakat secara konsisten.

"Objektif ini selaras dengan hasrat UM untuk terus mendepani isu-isu kemasyarakatan, terutamanya yang melibatkan generasi masa hadapan dari golongan yang memerlukan,” katanya.

Untuk rekod, program yang buat pertama kalinya itu ‘memasyarakatkan’ sebuah istiadat konvokesyen di universiti awam turut dijayakan Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Malaysia (YATIM).