Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kepimpinan di institusi pengajian tinggi (IPT) diberi ruang dan kelonggaran untuk mewujudkan idea-idea baharu dalam bidang pendidikan negara.
Perdana Menteri berkata, langkah ini penting bagi memastikan IPT negara mampu bersaing dengan lebih baik di peringkat serantau dan dunia, sekali gus melahirkan mahasiswa berdisiplin dan berkualiti tinggi.
"Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hanya harus selaraskan (program) bagi mengelakkan apa-apa pertindihan atau permasalahan, tapi beri lebih banyak ruang kepada unversiti, lihat lebih banyak program yang lebih baik, kalau tidak kita ubah kepimpinan (IPT)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Jumaat.
Berdasarkan pengalamannya sebagai tenaga pengajar, termasuk sebagai felo pelawat (visiting fellow) di beberapa universiti, Anwar melihat walaupun sistem pendidikan barat mempunyai kelemahan, namun ia juga memiliki kelebihan dalam beberapa aspek, termasuk displin pembelajaran yang tinggi.
Sementara itu, Perdana Menteri turut mengajak golongan pemikir, intelek dan ahli akademik untuk bersama-sama membantu beliau dalam memperbaiki kelemahan negara, selain mengangkat martabat anak-anak muda dalam pembelajaran.
"Pokoknya dalam kalangan pemikir bangsa, keutamaannya adalah menggunakan ruang perbaiki kelemahan kita, keutamaan kita mendidik anak-anak kita supaya dalam masa lima enam tahun, mereka bersaing dengan yakin dengan negara-negara maju di dunia ini.
"Tidak mudah tapi saya yakin dengan kekuatan Kerajaan Perpaduan walaupun ia rencam, saya belum hadapi satu pun masalah besar tatkala merangka keutamaan penting baik ekonomi, pelaburan, digital atau tenaga," katanya.
Wacana Strategi KPT selama dua hari bertujuan menyelaraskan semula strategi, merangka hala tuju strategik KPT, mencadangkan program atau inisiatif serta membincangkan isu-isu strategik berkaitan KPT dan cadangan penyelesaian bagi tahun ini.
Pelaksanaan objektif wacana ini diterjemahkan dalam beberapa sesi pembentangan dan forum secara interaktif oleh pembentang, ahli panel serta pakar dalam bidang masing-masing. - Bernama