"Negara akan memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April depan,” demikian yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.
Fasa endemik merujuk kepada keadaan di mana sesebuah negara itu boleh menerima dan berhadapan dengan jangkitan kes yang tinggi setiap hari dan ia berlarutan untuk satu tempoh yang panjang.
Menurut Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Cikgu Che Zuliani Ali, 42, walaupun negara akan beralih ke fasa endemik, para pelajar tetap meneruskan pembelajaran seperti biasa mengikut pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM).
"Mungkin ada antara pelajar dilihat seakan down bila berlaku situasi sebegini.
"Namun, kita mesti teruskan juga asalkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Sementara itu, berkongsi kisah mengenai Cikgu Che Zuliani dalam dunia pendidikan, beliau berkata, sudah 17 tahun dirinya menjadi Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa.
"Bila dapat tahu perlu berkhidmat di SESMA, hati saya sangat gementar dan ada keterujaan.
"Ini kerana SESMA bukan calang-calang sekolah. Sebuah sekolah berasrama penuh yang mana guru dan pelajarnya memang golongan bijak pandai.
"Saya anggap ini rezeki saya dan ia bagaikan satu cabaran untuk saya anjurkan pelbagai program yang meliputi semua aspek akademik, kepimpinan dan sahsiah serta kokurikulum untuk memastikan objektif melahirkan kemenjadian pelajar di peringkat global akan tercapai,” katanya.
Baca juga
Sesi persekolahan fasa endemik: Cabaran baharu guru, pelajar
Murid cacat penglihatan: Latihan ‘trailing’ dan bertongkat, bentuk kemahiran mobiliti
Menurut guru ini lagi, sehingga kini, pelbagai aktiviti Unit Bimbingan dan Kaunseling SESMA telah dianjurkan.
"Antaranya, sesi bimbingan dan kaunseling yang berobjektif meneroka dan mengenal pasti isu dan permasalahan yang membelenggu emosi pelajar khususnya pada pandemik Covid-19.
"Program hala tuju pendidikan kerjaya dan penajaan pendidikan seperti biasiswa, Program Ziarah Cakna ke rumah pelajar, Program SABEEL MySESMA, Program Motivasi Kecemerlangan Sahsiah dan banyak lagi,” ujarnya.
Beritahu Cikgu Che Zuliani ini lagi, ada beberapa program sudah dirangka namun disebabkan pandemik, ia tidak dapat dilaksanakan lagi buat masa sekarang.
"Insya-ALLAH, bila semuanya sudah pulih, mungkin kita akan fikirkan program yang bersesuaian untuk pelajar SESMA,” jelasnya.
Dalam pada itu, Cikgu Che Zuliani turut berkongsi beberapa cara bagi menyemarakkan kembali semangat pelajar agar terus kekal bermotivasi dalam fasa endemik.
Jom kita lihat
1) Sentiasa berfikiran positif
Apa yang kita fikirkan, itulah diri kita sebenarnya. Tanamkan sifat syukur dalam diri dan menganggap semua yang berlaku adalah ujian hidup yang akan mematangkan diri kita.
2) Jaga kesihatan diri
Patuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah dan rehat secukupnya. Apabila kesihatan terjaga, pelajar boleh datang ke sekolah untuk menimba ilmu. Makan vitamin sebagai makanan tambahan untuk mencegah daripada sebarang penyakit serta pakai pelitup muka dan sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman untuk membersihkan tangan.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
3) Fokus untuk terus belajar
Walau dalam fasa endemik, pelajar perlu sentiasa fokus dalam pembelajaran. Mungkin ada sesetengah kelas, jadual pembelajarannya agak padat, namun kelas masih tetap berjalan seperti biasa.
4) Jaga emosi
Refleksi diri dan ambil maklum sekiranya terdapat perubahan pada emosi dan tingkah laku. Ambil langkah pencegahan sekiranya ia berlaku dan dapatkan rawatan dengan segera.
5) Perbanyakkan aktiviti kerohanian
Sama ada secara individu atau bersama keluarga kerana ia boleh mengurangkan tekanan yang dihadapi.