BEHRANG - Bagi memberi pendedahan mengenai asas penulisan rencana kepada pensyarah dan pelajar, Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) menganjurkan Bengkel Strategi Penulisan Rencana Untuk Akhbar, baru-baru ini.
Bengkel yang disertai 19 pensyarah dari pelbagai jabatan dan unit serta empat anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PSAS itu dikendalikan Timbalan Pengarah (Media), Bahagian Komunikasi Korporat (BKK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Ghazali Din.
Pengarah Pusat Kebolehpasaran dan Perkhidmatan Industri Korporat (CISEC) PSAS, Norhayati Jamil berkata, bengkel itu bermanfaat untuk peserta berikutan memberi banyak input tentang teknik dan strategi dalam penulisan yang dapat memenuhi kehendak editor akhbar.
"Tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk memahami kepentingan penulisan yang akan memberi kesan positif kepada pembaca atau masyarakat menerusi perkongsian pandangan dan maklumat.
"Selain itu, bengkel ini dapat mempelbagaikan kaedah penulisan deskriptif yang perlu ada bagi seseorang pensyarah serta wakil pelajar sekali gus membantu peserta meningkatkan kualiti penulisan dalam berkarya," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
[caption id="attachment_39418" width="600"] Norhayati menyampaikan cenderahati kepada Ghazali sambil disaksikan Pengarah Pusat Islam PSAS, Mohd Zaid Ismail.[/caption]
Norhayati yang juga Pengarah Program Bengkel Strategi Penulisan Rencana Untuk Akhbar turut berkongsi pengalamannya menulis artikel mengenai permohonan sumbangan penyiapan surau Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim (SKTM) yang mendapat perhatian masyarakat.
"Impak daripada artikel itu, ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan dan hasilnya surau SKTM sudah siap dibina serta digunakan oleh warga SKTM untuk pelbagai tujuan.
"Di sini jelas menunjukkan bahawa impak penulisan di media massa amat besar dan memberikan kebaikan kepada banyak pihak selain daripada manfaat sebagai saham akhirat kepada penyumbang dana,” jelasnya.
Tambah Norhayati lagi, bermula tahun ini, pihaknya mahu melihat penglibatan pensyarah serta pelajar dalam merencana dan melaksana setiap program bermula dengan menulis kertas kerja, pelaporan seterusnya menerbitkan rencana berkaitan aktiviti pensyarah atau pelajar.
[caption id="attachment_39417" width="600"] Peserta bergambar kenangan bersama Ghazali.[/caption]
"Ini merupakan nilai tambah kepada pelajar PSAS yang boleh membezakan mereka dengan pelajar-pelajar lain selain dapat mempelajari teknik penulisan serta penggunaan tatabahasa yang betul.
"Ia juga dilihat mampu membantu meningkatkan kemahiran dalam menulis pelaporan aktiviti untuk organisasi tempat mereka bekerja kelak,” kongsinya.
Sementara itu, Ghazali berkata, peserta perlu tekun menulis di akhbar bercetak serta portal berita supaya mereka memiliki kepakaran dan mempunyai elemen keterlihatan serta dikenali umum.
"Teknik dan pengetahuan dalam memahami gaya penulisan sesebuah agensi media sangat membantu melicinkan lagi proses penghasilan artikel sekali gus memikat editor untuk menyiarkannya,” tuturnya.