Bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad menyifatkan pelancaran Biasiswa Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) –Budaya Positif sebagai satu titik perubahan besar dalam ekosistem sukan universiti apabila ia bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi simbol kepercayaan terhadap potensi serta nilai yang dibawa oleh atlet universiti.
Menurut Nazmizan yang juga Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Thailand 2025, biasiswa berkenaan menanam keyakinan bahawa kecemerlangan sukan tidak boleh dipisahkan daripada pembentukan jati diri, disiplin dan mentaliti juara.
"Ia bukan hanya tentang siapa paling pantas atau paling kuat, tetapi siapa yang paling berdisiplin, paling fokus dan menghargai proses untuk berjaya,” ujarnya.
Sebanyak lapan atlet UniMAP sebelum itu terpilih menerima biasiswa berkenaan pada satu majlis yang disempurnakan Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Ts Dr Zaliman Sauli bersama wakil Budaya Positif Sdn Bhd, Salwa Samsudin di universiti berkenaan.
Biasiswa ini diiktiraf sebagai inisiatif pertama seumpamanya di UniMAP yang melibatkan penyertaan langsung industri dalam menyokong kebajikan serta pembangunan sukan atlet universiti.
Langkah ini turut memperkukuh momentum Program Sukan Prestasi Tinggi UniMAP yang dilancarkan pada Januari lalu dipengerusikan Nazmizan satu lagi bukti kesungguhan universiti melahirkan atlet berdaya saing dengan keseimbangan akademik dan kokurikulum.
Tambah Nazmizan, inisiatif itu membawa mesej jelas bahawa kejayaan sebenar tidak semata-mata diukur melalui pingat, tetapi melalui sikap, tanggungjawab serta nilai positif yang diamalkan dalam kehidupan seharian.
"Program ini mendorong atlet untuk menjadi insan lebih berdikari dan berfikir jauh ke hadapan. Ia membina budaya baharu dalam sukan universiti atlet bukan lagi sekadar berlatih untuk menang, tetapi berjuang untuk menjadi insan berintegriti yang mampu menjadi inspirasi,” katanya.
Beliau menambah, kolaborasi strategik antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Budaya Positif Sdn Bhd adalah bukti kesungguhan universiti berkenaan memperkukuh pembangunan sukan berprestasi tinggi di peringkat IPT.
"Kerjasama dengan industri ini bukan sekadar tajaan. Ia simbol sinergi bagaimana dunia korporat boleh berganding bahu dengan akademia untuk membina modal insan yang berdaya tahan dan berpotensi besar mengharumkan nama negara," ujar Nazmizan.