Pengalaman pertama menyertai pertandingan ratu cantik membawa kenangan yang cukup indah buat Cikgu Frenerietta Sobitun apabila dinobatkan sebagai Ratu Unduk Ngadau sempena sambutan Pesta Kaamatan tahun ini.
Wanita berusia 25 tahun yang kini bertugas di Sekolah Rendah (SK) Sungai-Sungai, Beluran, Sabah telah memperagakan baju tradisi etnik Dusun Labuk dalam pertandingan ratu cantik kebudayaan etnik Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).
Beliau berjaya menewaskan 43 peserta lain yang mewakili kawasan masing-masing dan melayakkan diri sebagai antara tujuh peserta akhir yang memerlukan guru ini menjawab dua soalan dengan satu daripadanya menggunakan bahasa ibunda.
Kemenangan Cikgu Frenerietta dalam pertandingan tersebut membolehkan anak ketiga daripada lima beradik itu membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM120,000.
Bagi tempat kedua, ia dimenangi wakil Unduk Ngadau dari Papar, Esther Marius yang menerima hadiah keseluruhan bernilai RM75,319.
Manakala tempat ketiga pula dimenangi wakil Ranau, Deedee Cassandra Dallius (RM62,779).
Pertandingan Unduk Ngadau merupakan salah satu acara penting dalam Pesta Kaamatan bagi memperingati lagenda pengorbanan Huminodun yang dikorbankan bapanya, Kinoingan bagi menyelamatkan orang ramai daripada kebuluran.
Berkongsi kisah manis berkenaan, Cikgu Frenerietta berkata, dia syukur dan berterima kasih kerana memilih dirinya sebagai Unduk Ngadau peringkat negeri bagi tahun 2022.
"Kemenangan ini sangat bererti dan sekalung penghargaan diberikan buat keluarga yang sentiasa menyokong saya dari belakang,” katanya yang akan bekerjasama dengan agensi kerajaan agar dapat membantu terutamanya golongan muda untuk lebih mencintai warisan dan budaya masing-masing.
INFO
1) Unduk Ngadau merupakan pertandingan ratu cantik dan menjadi acara kemuncak bagi perayaan Pesta Kaamatan.
2) Unduk Ngadau dianjurkan selama 62 tahun dan menjadi nadi kepada Pesta Kaamatan.
3) Ia adalah pertunjukan budaya yang mana setiap daerah mempunyai budaya tersendiri seperti keunikan pakaian tradisional untuk dibawa ke pertandingan Unduk Ngadau.
4) Pemenang Unduk Ngadau tahun lalu, Maya Hejnowska memberitahu, perkara penting sebagai Unduk Ngadau adalah tanggungjawab yang datang bersama terutamanya dalam menjadi contoh kepada generasi muda Sabah dan memperkasa kaum wanita.
4) Maya Hejnowska, seorang gadis berketurunan Kadazan-Poland telah belajar banyak perkara apabila dinobatkan sebagai Unduk Ngadau. Antaranya bertemu bobohizan (pendeta besar), belajar tentang upacara tradisional dan berusaha menjadi contoh teladan terutama kepada masyarakat Sabah.
Artikel berkaitan
Membanggakan! Kisah ikon permotoran negara, Hafizh Syahrin dimasukkan ke dalam buku teks
35 tahun jadi pendidik, Cikgu Zah kini dinobat penerima Tokoh Guru Terengganu 2022
Guru besar baiki longkang tersumbat hingga buat ramai terkejut!