Kekal di Sabah kerana murid, pengorbanan Cikgu Sharin Aizrulidana ini cukup besar nilainya
Kekal di Sabah kerana murid, pengorbanan Cikgu Sharin Aizrulidana ini cukup besar nilainya

Kekal di Sabah kerana murid, pengorbanan Cikgu Sharin Aizrulidana ini cukup besar nilainya

Roshlawaty Md Raieh
19 May 2022 03:58pm
A
A
A

Kerana rasa cintanya pada negeri Sabah dan anak-anak murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Padang, Kota Kinabalu, seorang guru memilih untuk kekal mengajar dan menabur bakti di 'Negeri Bawah Bayu' tersebut.

Cikgu Sharin Aizrulidana Samsuri, 46, yang kini berkhidmat sebagai guru prasekolah di SK Bukit Padang, gigih menggarap idea baharu yang bersesuaian untuk pendidikan awal kanak-kanak di sana walaupun beliau merupakan anak jati Kota Tinggi, Johor.

Menurutnya, bukan tidak ada tawaran untuk kembali berkhidmat di negeri kelahirannya, tetapi ibu kepada tiga cahaya mata perempuan itu memilih untuk mengajar di Sabah.

“Sudah dua dekad saya merantau jauh hingga ke sini. Impian saya hanya satu, untuk memberi pendidikan sempurna kepada anak-anak Sabah sekali gus memastikan mereka tidak keciciran dalam pelajaran,” ujarnya.

Berkongsi pengalamannya mencurah bakti sebagai guru prasekolah di Sabah, Cikgu Sharin Aizrulidana berkata, semuanya bermula ketika beliau menjalani latihan industri di sebuah sekolah luar bandar bagi memenuhi kursus Diploma Pendidikan (Kursus Pengurusan Lepasan Ijazah) Opsyen Pengajian Prasekolah semasa dirinya mengikuti pengajian di Maktab Perguruan Keningau.

Katanya, minat terhadap profesion keguruan terutama dalam mendidik kanak-kanak semakin menebal kerana keseronokan melihat golongan kecil itu dapat menguasai kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul (4M) yang diajarkannya, apatah lagi ia adalah asas penting untuk pendidikan awal kanak-kanak sebelum mereka melangkah ke Tahun Satu.

PdPR sangat mencabar

Menurut Cikgu Sharin Aizrulidana, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian sepanjang pandemik Covid-19 sangat mencabar memandangkan murid prasekolah memerlukan aktiviti pembelajaran langsung dan multisensori untuk mereka lebih mudah memahami kemahiran yang diajar.

Namun, beliau tetap komited meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan mengadakan kelas insentif membaca menerusi panggilan video setiap hari mengikut jadual, selain membuat inovasi pembelajaran bagi membantu murid prasekolah terutama mereka yang tidak dapat mengikuti kelas secara dalam talian.

"Saya pernah membuat sudut khas di rumah murid untuk memudahkan mereka menggunakan bahan inovasi itu.

“Selain itu, saya juga menghasilkan video pembelajaran menarik yang kemudiannya dimuat naik di YouTube," katanya yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan), Universiti Putra Malaysia.

Dengan sentiasa berfikiran positif dan tidak menganggap cabaran kerja sebagai bebanan, guru hebat ini berjaya membuktikan bahawa diri mampu melakar pelbagai kecemerlangan sepanjang 21 tahun bergelar guru.

Setakat ini, beliau telah meraih 48 anugerah termasuk pengiktirafan peringkat antarabangsa.

Semua anugerah tersebut antara lain melibatkan inovasi dan kajian dihasilkannya berkenaan pembangunan pendidikan prasekolah dengan inovasi terbaharu berkaitan Bahasa Inggeris yang turut menobatnya untuk menerima Anugerah Guru Inovatif (Individu Prasekolah) sempena Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, rezeki daripada ALLAH. Anugerah yang diterima buat kali kedua ini, pastinya akan memberi saya satu motivasi bermakna untuk gigih berkarya dan seterusnya mencurahkan segala idea, masa dan tenaga dalam mendidik murid-murid,” ujarnya.

Artikel berkaitan 

Cegah sebelum parah! Guru, ibu bapa dan murid mohon peka situasi HFMD yang semakin meningkat

Taylor Swift kini bergelar doktor, terima ijazah kehormat dari NYU


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok