“SUTAMA dikenali bukan kerana saya seorang tetapi ia hasil kerja berpasukan”

Iklan
“SUTAMA dikenali bukan kerana saya seorang tetapi ia hasil kerja berpasukan”
Berbicara tentang Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor atau SUTAMA, sudah pasti barisan pendidik di Malaysia melahirkan rasa kagum di atas setiap pencapaian, anugerah dan kejayaan yang diraihnya.Setiap tahun, pasti ada puluhan anugerah yang akan dibolot SUTAMA, sama ada peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.Disebalik kejayaan itu, sudah tentu ada seseorang yang sentiasa memberi komitmen yang luar biasa terhadap sekolah tersebut.Beliau yang dimaksudkan adalah Pengetua Cemerlang, Cikgu Noor Hayati Embong.Beliau yang baru sahaja dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Khas Pendidikan Kepimpinan (Menengah) Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-51 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), baru-baru ini berkata, kejayaan tersebut tidak mungkin dirangkul sekiranya tiada kerjasama semua pihak."Kejayaan ini adalah hasil pembudayaan kerja berpasukan, dedikasi dan motivasi berterusan yang akhirnya mewujudkan suasana kerja serta belajar yang menyeronokkan."Keseronokan ini menjadi sinergi kepada semua warga SUTAMA untuk sentiasa kreatif dan inovatif dalam mempamerkan prestasi yang cemerlang. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai ini menjadikan SUTAMA mencipta kecemerlangan dalam kelasnya yang tersendiri," katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.Ditanya mengenai perasaan ketika menerima anugerah tersebut, anak kelahiran Kemaman, Terengganu ini berkata, perasaannya bercampur baur antara gembira dan sebak."Saya gembira kerana segala usaha keras yang warga SUTAMA lakukan membuahkan hasil."Anugerah ini bukan untuk saya seorang tetapi untuk semua orang yang sentiasa menyokong dalam pelbagai aspek," jelasnya.Mengimbau memori ketika melangkah ke SUTAMA sebagai pengetua, Cikgu Noor Hayati sudah menyedari yang dirinya akan berhadapan dengan pelbagai cabaran besar."Bilangan pelajar di SUTAMA hampir mencecah 4,000 orang dan guru yang ramai bukanlah satu fenomena biasa di sesebuah sekolah."Sebagai pengetua, sudah tentu akan melalui bermacam-macam dugaan. Namun saya melihat yang segala isu, masalah dan kesukaran dihadapi adalah cabaran yang perlu dilihat sebagai peluang untuk menerajui sekolah mencipta kejayaan."Dan saya meletakkan iltizam dan komitmen yang tinggi melalui pendekatan seronok melaksanakan amanah sebagai satu keutamaan," ujarnya.Beliau berkata, warga SUTAMA mempunyai kekuatan masing-masing yang perlu diserlahkan dengan bijaksana secara kritis dan inovatif.Semua kekuatan ini sangat berpotensi untuk dibangunkan dalam menjadikan SUTAMA sebagai sebuah sekolah harian luar bandar yang cemerlang.Kemenjadian pelajar dalam pelbagai bidang dengan acuan dan gaya tersendiri adalah ramuan kejayaan sekolah yang seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM)."Harapan saya agar semua pelajar yang akan meninggalkan SUTAMA adalah pelajar yang mempunyai nilai tambah dan menjadi aset kepada negara," jelasnya.Menjadi keutamaanKebajikan guru, staf sokongan dan pelajar dalam pelbagai perkara menjadi keutamaan buat pengetua cemerlang ini.Beliau menghulurkan kasih sayang kepada semua warga sekolah tanpa pilih kasih.Seterusnya, pendekatan kepimpinan yang Cikgu Noor Hayati ini amalkan ketika mengurus sekolah seumpama menguruskan `business’ iaitu ada untung dan rugi."Pemimpin sekolah diumpamakan sebagai Pengarah Urusan yang menentukan hala tuju dan jatuh bangun sesebuah organisasi."Manakala dalam konteks sekolah pula, keuntungan itu dilihat dari aspek kejayaan, kecemerlangan dan kemenjadian pelajar."Seterusnya, kerugian pula dilihat apabila keciciran pelajar dari aspek kemenjadiannya telah dianggap sebagai normal di sesebuah sekolah. Berpegang kepada prinsip inilah maka saya melihat seorang pemimpin sekolah perlu berimpak tinggi di samping memainkan peranan yang signifikan sebagai peneraju, pembimbing dan pendorong kepada semua warga SUTAMA," ujarnya bersemangat.INFO