Mengangkat tema ‘Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA’, seramai empat orang guru telah dinobatkan sebagai Tokoh Guru sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Klang.
Empat penerima itu adalah Huzaimah Mokhtar, Raja Rozita Raja Hanafi, Lee Siew Kiat dan Chethraselvan Kathan yang menerima sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM1,000.
Menurut salah seorang penerima anugerah Tokoh Guru, Huzaimah Mokhtar, beliau berpegang pada prinsipnya iaitu membuat sehabis baik sekiranya diberi tugasan.
"Buatlah tugas yang diberi dengan hati yang ikhlas dan sehabis baik. Jadikanlah ia peluang untuk menambah pengalaman dan akhirnya akan merasa kemanisan dan kepuasan,” katanya ketika majlis tersebut yang diadakan di Hotel Premiere, Klang, baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya dan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Datin Nor Faridah A Bakar.
Selain itu, turut dianugerahkan ialah Tokoh Kepimpinan Daerah Klang yang menjadi milik Noraini Md Tahir sekali gus membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak RM1,000.
Dalam pada itu, Muslimin Yahya mengingatkan agar semua guru perlu melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi terkini supaya mudah menghadapi cabaran pendidikan abad ini.
"Bertepatan dengan tema Hari Guru, guru pada hari ini perlu mendepani murid yang jauh berbeza pada masa lalu,” jelasnya ketika merasmikan majlis itu.
Beliau sempat mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru yang berdedikasi dalam menjalankan tugas dengan penuh keikhlasan dan kesedaran untuk menyumbang ke arah pembangunan potensi bakat serta modal insan pada masa akan datang.
Artikel berkaitan
Cacat penglihatan tak halang Siti Aisah raih Anugerah Guru Cemerlang
Cabaran pendidikan era pandemik, 3 guru diumum pemenang #CikguJuaraDigital 2022
RM50,000 untuk Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari