WhatsApp Image 2022-05-25 at 10.01.22 AM
WhatsApp Image 2022-05-25 at 10.01.22 AM

RM50,000 untuk Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari

Adlan Farhan Azwan
25 May 2022 10:26am
A
A
A

Bersempena dengan sambutan Hari Guru pada tahun ini, bahagian pendidikan Sinar Harian, Sinar Bestari secara rasminya telah melancarkan Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari 2021/2022 (ASSSB).

Sebanyak RM50,000 hadiah wang tunai ditawarkan untuk pemenang bagi lima kategori iaitu Sekolah Rendah (kategori luar bandar dan bandar), Sekolah Menengah (kategori luar bandar dan bandar) serta Anugerah Khas Juri.

Menurut Pengarah Projek ASSSB, Meen Tahrin, fokus utama anugerah ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada sekolah yang berkembang dengan pesat akibat pandemik Covid-19 yang bermula dua tahun lalu.

“Pada 2020, situasi pendidikan bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia menjadi  kelam-kabut kerana penularan wabak Covid-19 yang tidak dijangka.

Baca juga

Anugerah Global Teacher Prize versi Malaysia, guru boleh mohon 

Raikan guru cemerlang yang memanfaatkan dunia digital

“Kemudian pada 2021, boleh dikatakan keadaan kembali terkawal dengan pelbagai pelan dan  perancangan dibuat untuk memastikan agar pendidikan dapat diteruskan di samping memastikan keselamatan serta kesihatan guru dan pelajar terjamin.

“Pada ketika itulah, kita melihat pelbagai tranformasi telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh di setiap sekolah.  Seperti pengakuan seorang guru, selepas pandemik, sekolahnya telah lengkap dengan studio untuk memudahkan proses pembelajaran berlaku.

Pengarah Projek ASSSB, Meen Tahrin.

“Ya, itulah yang ASSSB akan nilai iaitu perkembangan sesebuah sekolah dari ‘zero to hero’,” jelas Meen yang juga merupakan Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Bestari, Sinar Harian.

Majlis gemilang

Tambahnya lagi, uniknya ASSSB adalah anugerah yang membuat penilaian dari pelbagai sudut merangkumi pengurusan dan pembangunan sekolah, kemahiran guru, kemenjadian pelajar dan penggunaan teknologi yang relevan dengan situasi zaman sekarang.

“ASSSB bukan sahaja menilai dari segi sijil tetapi apa sahaja yang mempunyai nilai-nilai baik, terpuji, memberi inspirasi, teladan dan sebagainya.

“Semuanya boleh dicalonkan kerana kami percaya sesebuah sekolah itu bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik tetapi sebenarnya melahirkan ramai insan yang terpuji.

“Oleh itu, semua sekolah digalakkan untuk menyertai anugerah ini dan semoga kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain,” ujarnya lanjut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Penilaian yang akan dibuat adalah berdasarkan pencapaian atau perkembangan sepanjang tahun 2021 hingga 2022.

Setiap sekolah yang menyertai pertandingan ini juga akan diberikan sijil penyertaan.  Tarikh tutup penyertaan adalah pada 16 Julai 2022 dan pemenang akan dimaklumkan dalam satu majlis anugerah gemilang yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 5 Oktober 2022.

Borang penyertaan dan maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang sinarbestari.sinarharian.com.my.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok