MDEC #CikguJuaraDigital
MDEC #CikguJuaraDigital

Cabaran pendidikan era pandemik, 3 guru diumum pemenang #CikguJuaraDigital 2022

Adlan Farhan Azwan
21 Jun 2022 11:42am
A
A
A

Tiga guru dipilih sebagai pemenang #CikguJuaraDigital (#CJD) 2022 anjuran agensi peneraju ekonomi digital Malaysia di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menerusi kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Negeri (PPN) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), tiga individu itu dipilih sebagai pemenang bagi kategori utama iaitu Juara Prasekolah, Juara Cikgu dan Juara Pentadbiran.

Guru kelahiran Kelantan, Cikgu Adillah Mansor telah dipilih sebagai pemenang pertama untuk kategori Juara Prasekolah.

Beliau yang kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh, Kelantan, mempunyai pengalaman lebih 17 tahun dan telah memenangi anugerah Guru Cemerlang Prasekolah dari KPM, sejak 2011.

Menyedari cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa, beliau telah mengintegrasikan pembelajaran berasaskan permainan seperti Kahoot!, Quizziz, Wordwall dan Liveworksheets bagi meningkatkan motivasi pelajar untuk aktif semasa kelas dalam talian.

Sementara itu, guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Orkid Desa, Kuala Lumpur, Cikgu Ainulmursyida Shamsudin telah dipilih sebagai pemenang Cikgu Juara atas usaha beliau membangunkan minat pelajar menerusi platform media sosial seperti YouTube serta mengintegrasikan bahan interaktif dalam kaedah pengajarannya untuk meningkatkan penyertaan pelajar.

Beliau berkata, pandemik telah membuka matanya untuk mencuba pedagogi dan persekitaran pembelajaran alternatif, terutamanya apabila pembelajaran fizikal di bilik darjah tidak dapat dilaksanakan.

“Saya mendapati 90 peratus pelajar saya telah berinteraksi secara aktif semasa kelas dalam talian,” jelasnya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Kategori seterusnya adalah bagi menghargai peneraju dalam sistem sekolah yang telah dimenangi oleh Pengetua SMK Mulong di Kota Bharu, Kelantan, Cikgu Mohd Nazri Muhammad.

Beliau percaya bahawa guru dan pelajar perlu dilengkapi dengan infrastruktur digital yang lengkap dalam usaha memastikan pengalaman pembelajaran dalam talian yang lebih berkesan.

“Ketika pandemik berlaku, saya telah turun ke lapangan untuk memastikan sesi persekolahan boleh diteruskan semasa kementerian memperkenalkan kaedah pembelajaran dalam talian.

“Guru-guru kita telah memperkenalkan pelbagai kaedah agar kurikulum persekolahan dapat dilaksanakan dengan efektif,” tambah beliau.

#CJD 2022 merupakan sebuah program bagi meraikan golongan pendidik di Malaysia yang telah memberi sumbangan besar kepada sistem pendidikan dengan memanfaatkan platform digital.

Bagi edisi tahun ini, sebanyak 578 permohonan telah diterima dan seramai 50 orang pendidik berinspirasi telah dikenal pasti sebagai #CJD.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, pandemik Covid-19 telah mempercepatkan inovasi dan transformasi digital bukan saja dalam sektor perniagaan, malah turut melibatkan sistem pendidikan tempatan.

“Kami sangat berbangga dengan penyertaan yang amat menggalakkan pada tahun ini, iaitu lebih 500 orang guru dari seluruh negara telah menghantar permohonan serta menyatakan aspirasi mereka untuk terus menginovasi sistem pendidikan melalui penggunaan platform digital.

“Kaedah dan penyampaian pendidikan secara digital telah menjadi contoh terbaik dan ia benar-benar menjadi sumber inspirasi untuk seluruh Keluarga Malaysia.

"Justeru, MDEC bersungguh-sungguh untuk terus menyokong transformasi digital sistem pendidikan kita yang bukan saja penting bagi kestabilan masa depan, malah untuk terus mewujudkan tenaga kerja dan bakat berkemahiran digital,” tambah Mahadhir.

#CJD yang diperkenalkan pada 2019 di bawah inisiatif #mydigitalmaker menyasarkan untuk menyokong dan mengiktiraf pencapaian golongan pendidik yang melakukan anjakan paradigma dengan mengintegrasikan teknologi digital ke dalam sistem pendidikan negara.

Selain itu, #CJD juga merupakan program gerakan akademik melalui kerjasama awam-swasta bagi mewujudkan negara peneraju pembuatan digital dengan mentransformasikan anak muda daripada pengguna digital kepada pengeluar digital.

Artikel berkaitan

Hadiah RM50,000 untuk sekolah, 19 soalan lazim pertandingan ASSSB guru perlu tahu

RM50,000 untuk Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari

Guru dan murid SK Kampung Baharu, Jerantut, berganding bahu menyertai ASSSB


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok