Dalam usaha menyokong konsep Sekolahku SEJAHTERA yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) Februari lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang Utama (KUSeS) menyediakan ruang khusus yang dikenali dengan nama KUSeS Rest and Read (RnR).
Pengetua KUSeS, Mohamad Hanafiah Baharudin berkata, ruang rehat yang santai itu disediakan bagi memenuhi keperluan pelajar untuk berehat dan mengisi masa dengan aktiviti berfaedah sebelum sesi pembelajaran bermula.
"Ia sesuai dengan kehendak Sekolahku SEJAHTERA yang mempunyai 14 nilai murni iaitu Selamat, Seronok, Sihat, Etika, Empati, Jati Diri, Adab Sopan, Harmoni, Tekun, Teliti, Terampil, Eksplorasi, Rasional dan Artikulasi.
"Selain itu, ia juga bertujuan memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar dengan pemikiran yang rasional, menyediakan ruang rehat santai untuk pelajar bergaul secara selamat, seronok, sihat, beradab sopan dan harmoni serta memupuk semangat cintakan sekolah dengan jati diri yang tinggi, mempunyai jiwa eksplorasi dan empati,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Pelancaran Sekolahku SEJAHTERA KUSeS yang diadakan baru-baru ini telah dirasmikan oleh Ketua Nazir Sekolah KPM, Shafruddin Ali Hussin.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan semasa pelancaran Sekolahku SEJAHTERA ini antaranya adalah gotong-royong menyiapkan KUSeS RnR yang berkonsepkan ruang santai di kantin sekolah, aktiviti NILAM dan ulasan buku, treasure hunt, pidato umum dan sukaneka.
KUSeS RnR dibangunkan melalui dana yang dikumpul hasil kerjasama Program Jalinan Pintar Korporat (JPK) bersama kumpulan Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) ambilan 2022, Institut Aminuddin Baki (IAB).
[caption id="attachment_41820" width="400"] Mohamad Hanafiah.[/caption]
Tambah Mohamad Hanafiah lagi, idea untuk melakukan inovasi kantin sekolah memang telah ada memandangkan tempat itu tidak berubah sejak puluhan tahun sekali gus menjadikan ia tidak seiring dengan perkembangan teknologi dan gaya hidup pelajar yang terdedah dengan pelbagai konsep ruang makan menarik dan selesa.
"Apabila kumpulan bakal pemimpin sekolah dari IAB hadir menawarkan jalinan kerjasama seperti ini, ia membuka satu ruang dan peluang untuk saya merealisasikan hasrat mewujudkan satu sudut kantin yang diidamkan.
"Saya berharap ruang Rest & Read ini akan menjadi satu permulaan untuk merubah keseluruhan konsep kantin sekolah agar lebih ceria dan memberi keseronokan kepada pelajar,” jelasnya.
Sementara itu, guru KUSeS, Cikgu Raihanah Abdul Rahim menyatakan rasa syukur dan gembira dengan pelaksanaan program berkenaan yang berjalan lancar.
"Kewujudan RnR ini berjaya menyediakan ruang rehat yang santai bagi menarik minat pelajar untuk membaca di kantin serta meningkatkan artikulasi mereka.
"Dalam masa yang sama, pihak sekolah juga dapat membina jalinan yang baik dengan pihak luar yang tampil dengan sumbangan ke sekolah.
"Diharapkan akan ada ramai lagi pihak luar yang akan menyokong dan bekerjasama dengan sekolah bagi sama-sama membantu kecemerlangan anak bangsa,” ujarnya.
Pelajar KUSeS, Siti Aisyah Umairah Suhaimi yang turut mengambil bahagian dalam aktiviti Perkongsian Amalan Baik Nilam sempena pelancaran Sekolahku SEJAHTERA itu menyifatkan aktiviti yang dianjurkan mampu mendidik pelajar untuk lebih minat membaca.
"Saya juga dapat banyak tip untuk menyertai pertandingan bercerita agar dapat menarik dan memenangi hati juri,” kongsinya.
Artikel berkaitan
Konsep Sekolahku Sejahtera terap 14 nilai murni, lahirkan generasi berdaya saing
Dendangan lagu Sejahtera Malaysia, satukan murid pelbagai kaum dan negeri
Guru besar baiki longkang tersumbat hingga buat ramai terkejut!