Guru Cemerlang Hifz al-Quran, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Ustaz Ismail Salleh berkongsi tip penting kepada pelajar yang mahu menjadi penghafaz al-Quran.
Antara yang dikongsi beliau kepada Sinar Bestari berkaitan mengekalkan ingatan hafazan adalah:
1) Untuk lebih mendisiplinkan diri dalam pengulangan hafazan, seharusnya seorang hafiz hendaklah menanamkan keyakinan bahawa memelihara dan menjaga hafazan ayat suci al-Quran adalah suatu kewajipan istimewa yang ada hubungan secara langsung dengan ALLAH SWT.
2) Adalah menjadi suatu kesalahan bagi seorang hafiz sekiranya dia mempunyai semangat bermusim dalam mengulang kaji hafazan. Janganlah sekali-kali mengulang satu kali khatam dalam satu hari ketika rajin kemudian dalam masa yang lama seperti tiga atau empat minggu tidak melakukan pengulangan kerana dilanda perasaan malas.
3) Kebiasaan menunda dan menangguhkan pengulangan(murajaah) hanya akan menambah perasaan malas pada hari yang berikutnya.
Hal ini sebenarnya merupakan pembawaan nafsu malas itu sendiri yang mengajak kepada menangguh-nangguhkan tugasan dari satu masa ke masa yang berikutnya.
Untuk mengelakkan kemalasan ini, usaha pengulangan hendaklah dijadikan kewajipan khas setiap hari pada satu masa yang telah ditentukan sebagaimana ketentuan waktu di dalam solat lima waktu.
Tiga perkara di atas adalah sangat penting untuk diambil berat oleh golongan huffaz yang ingin berjaya dengan cemerlang dan mendapatkan syafaatnya pada hari kiamat kelak.
Sementara itu, bagi mengekalkan hafazan, Ustaz Ismail berkongsi pula beberapa kaedah atau metodologi asas yang boleh diamalkan oleh penghafaz al-Quran.
1) Bergaul dengan mereka yang telah menjadi hafiz dan kuat ingatannya. Kebiasaannya pada suatu tahap tertentu akan timbul rasa jemu dan malas untuk mengulang kaji hafazan walaupun pada awalnya semangat tersebut amat berkobar-kobar.
Oleh itu, memilih rakan hafiz al-Quran yang kuat ingatannya dapat membantu seseorang itu untuk lebih konsisten dalam mengulang-ulang ayat-ayat al-Quran kerana wujudnya semangat persaingan berlumba-lumba membacanya.
Selain itu, mereka juga berperanan sebagai pemberi motivasi kepada seseorang yang mula malas dan lesu untuk mengulang hafazan.
2) Mendengar bacaan qori atau imam-imam seperti Syeikh Masyari, Syeikh Abdul Rahman Sudais dan sebagainya. Hal ini boleh dilakukan dengan mendengar radio ataupun cakera padat al-Quran. Amalkan proses mendengar ini dalam kehidupan seharian.
Sekiranya ingin memperolehi manfaat yang lebih banyak, seseorang hafiz itu boleh mendengar dengan teliti bacaan-bacaan yang diperdengarkan dengan memerhatikan hukum-hukum tajwidnya, ghunnah-ghunnahnya dan alunan irama bacaannya. Proses ini secara tidak langsung dapat mengekalkan hafazan yang kita telah hafaz.
3) Mengulang hafazan bersama rakan. Cara ini merupakan cara popular yang digunakan oleh para ulama zaman dahulu untuk mengingati ilmu yang telah mereka pelajari.
Begitu juga bagi seorang hafiz yang melakukannya secara konsisten, hafazan al-Quran lebih mudah dikekalkan. Malah pada masa yang sama, ketika berlaku ketidaklancaran pada bacaan salah seorang antara mereka, rakannya dapat membetulkan bacaan tersebut.
4) Selalu membaca ayat yang dihafaz di dalam solat. Seringkali membaca ayat-ayat yang telah dihafaz di dalam solat sudah tentu akan memudahkan dan melancarkan lagi hafazan seseorang. Ini kerana suasana solat itu sendiri memerlukan konsentrasi dalam melaksanakan ibadat tersebut.
Maka seorang hafiz perlulah membuat pengulangan bacaan yang intensif dan melapangkan waktu yang agak panjang. Walaupun demikian, ini bukanlah bermakna tidak terdapat langsung kesalahan seperti kesilapan bacaan ataupun terlupa ayat yang hendak dibaca semasa membacanya di dalam solat. Namun apabila perbuatan ini menjadi rutin, lama-kelamaan akan terhasil juga satu sistem hafazan ayat-ayat suci al-Quran yang amat lancar.
5) Menyertai Majlis Menghafaz al-Quran. Dengan mengikuti pertandingan seumpama ini menyebabkan seseorang itu mendapat motivasi untuk mengulang hafazannya secara berulangkali.
Ini kerana pertandingan tersebut dianggap satu suasana ujian yang amat genting. Melalui pertandingan yang disertai ini, penghafaz bukan sahaja dapat menguji kemampuannya dalam menghafaz ayat al-Quran malah turut memperolehi pengalaman yang berharga apabila dapat bertukar-tukar ilmu dan buah fikiran dengan peserta daripada daerah dan negeri lain.
Artikel menarik
Pelajar raih Mumtaz dalam STAM 2021, jadikan solat sunat duha sebagai amalan wajib
3 ciri murni yang perlu diterapkan kepada guru Pendidikan Islam, ini senarai diperlukan!