3 ciri murni yang perlu diterapkan kepada guru Pendidikan Islam, ini senarai diperlukan!
3 ciri murni yang perlu diterapkan kepada guru Pendidikan Islam, ini senarai diperlukan!

3 ciri murni yang perlu diterapkan kepada guru Pendidikan Islam, ini senarai diperlukan!

webadmin
20 Jul 2022 11:53am
A
A
A

Pendidik atau guru Muslim mampu melahirkan pelajar yang baik tingkah laku dan berilmu.

Seorang guru Pendidikan Islam dilihat bukan sahaja menyampaikan ilmu dan menjawat pekerjaan, tetapi tugasnya adalah mendidik, membimbing dan memimpin pelajar untuk menjadi seorang Muslim yang syumul serta mampu menghadapi cabaran dan arus kemodenan dan globalisasi. (Nordin, 2002).

Hal ini jelas menunjukkan guru Pendidikan Islam adalah pemimpin kepada muridnya dan wujud elemen-elemen baik dari seseorang guru itu akan dicontohi oleh muridnya.

ALLAH SWT berfirman: “ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan ALLAH maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadilah ayat 11)

Para guru merupakan agen moral dan suri teladan kepada murid-muridnya dan perlu mempamerkan akhlak yang mulia kepada muridnya. (Suhid, 2007)

Kajian mengenai penampilan dan personaliti guru Pendidikan Islam oleh Tamuri, Yusop, Othman, Awaluddin Abdul Halim dan Abd Razak (2004), menjelaskan bahawa ramai guru termasuk guru Pendidikan Islam masih tidak mampu menjadikan diri masing-masing sebagai suri teladan terbaik kepada pelajar mereka.

Tamuri (2004) menjelaskan krisis akhlak pelajar hari ini ada kaitannya dengan personaliti guru kerana mereka membawa pengaruh terhadap pembentukan peribadi pelajar.

Matlamat Pendidikan Islam terhadap pendidikan akhlak

Hala tuju dan matlamat dalam Pendidikan Islam adalah untuk membentuk personaliti Muslim yang mencakupi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah.

Dalam membina ekologi kehidupan yang syumul dalam keluarga pula, ibu bapa adalah golongan terpenting dalam memberi pendidikan dan pembentukan akhlak anak-anaknya.

Proses pendidikan secara berterusan ini telah digambarkan secara jelas melalui Falsafah Pendidikan Islam (FPI): Pendidikan Islam adalah satu usaha yang berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pegangan hidup sebagai hamba ALLAH yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar, negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan di akhirat.

Matlamat FPI ini jelas untuk melahirkan individu yang soleh iaitu beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia.

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa FPI mempunyai matlamat untuk membentuk pelajar dengan akhlak sesuai dengan tuntutan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya, kamu (Muhammad SAW) benar-benar memiliki akhlak yang agung.” (al -Quran 68:4)

Ini menunjukkan bahawa proses pembentukan akhlak generasi muda hari ini dan generasi masa hadapan terpikul atas bahu pendidik khususnya guru-guru Pendidikan Islam.

Bagaimanapun, isu-isu mengenai salah laku murid dapat di atasi dengan adanya personaliti guru yang baik dan berperanan membentuk pelajar dan sahsiah diri yang baik.

Ciri-ciri personaliti guru Pendidikan Islam

Guru merupakan agen perubahan yang besar dalam pembentukan diri seseorang pelajar dan mereka inilah merupakan pemimpin masa hadapan.

“Yang paling hebat daripada seorang guru adalah mendidik dan rekreasi yang paling indah adalah mengajar. Ketika melihat murid-murid yang menjengkelkan dan melelahkan, terkadang hati teruji kesabarannya, namun hadirkanlah gambaran bahawa di antara satu daripada mereka kelak akan menarik tangan kita menuju syurga.” (KH. Maimun Zubair)

Ciri-ciri murni peribadi yang harus diterapkan dalam diri seseorang guru boleh dibahagikan kepada tiga aspek iaitu sifat peribadi, tingkah laku dan contoh teladan serta sifat kualiti profesional.

Ini sebahagian ulasannya.

1) Sifat Peribadi

Seseorang guru yang baik seharusnya mempunyai sifat peribadi yang baik. Antara sifat peribadi yang baik ialah baik hati, jenaka, sabar, yakin dan bertanggungjawab.

a) Jenaka

Sifat jenaka seseorang guru akan membawa keriangan dalam kelas dan akan lebih suka didekati oleh muridnya. Murid-murid lebih suka suasana yang ceria dan mendamaikan. Suasana marah dan hening tidak disukai oleh mereka. Apabila suasana yang menceriakan masuk ke dalam kelas, maka rezeki ilmu mudah masuk ke dalam pemikiran anak-anak. Seseorang guru yang mempunyai sifat ini akan selalu membawa unsur kelucuan dan akan membuatkan sesuatu pembelajaran menjadi lebih menarik dan tidak bosan.

b) Yakin

Seseorang guru yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dapat membantu mereka untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Self confidence atau keyakinan diri bagi seseorang guru memainkan peranan penting dalam sebarang tindakan aktiviti proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di sekolah. Kebanyakan masalah disiplin yang timbul di bilik darjah adalah disebabkan kurang yakin guru sendiri.

Guru yang mempunyai sifat yakin tidak akan merasa takut apabila perlu membuat sesuatu keputusan.

c) Sabar

Seseorang guru yang mempunyai sifat sabar adalah guru yang boleh mengawal emosi. Apabila guru memiliki bersifat ini, beliau tidak akan mudah marah atau geram dalam apa juga situasi. Kesabaran dapat mengelakkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku. Perlu diingatkan jantung guru- guru juga perlu dijaga untuk kawalan emosi ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

d) Kepimpinan

Guru merupakan pemimpin kepada murid atau pelajar. Guru haruslah menunjukkan contoh sebagai pemimpin yang menjadi ikutan atau sifat ini diwarisi supaya murid-muridnya mematuhi segala tunjuk ajar dan arahan guru. Dengan adanya sifat kepimpinan ini, segala pembelajaran akan berjalan dengan efektif dan berkesan.

2) Tingkah laku dan contoh teladan

Tingkah laku guru adalah contoh teladan yang baik kepada murid-murid. Oleh itu, guru-guru haruslah mempunyai sifat terpuji yang boleh menjadi teladan kepada anak-anak didik. Antaranya berpakaian kemas, menepati masa, bersopan santun dan mempunyai sifat positif. Murid begitu mudah tertarik dengan tingkah laku dan contoh yang baik daripada guru.

Guru ini umpama lilin bagi murid-murid. Aura yang baik daripada guru, kadang-kadang kata-kata guru lagi mempengaruhi sifat anak murid.

a) Berpakaian kemas.

Segala perlakuan seseorang guru akan diperhatikan oleh muridnya. Murid-murid amat suka kepada penampilan guru apabila memasuki kelas. Oleh itu, guru haruslah sentiasa berpakaian kemas. Dengan erti kata lain, seorang guru haruslah berpakaian seperti seorang guru, berjalan dan bertutur seperti seorang guru. Kadang-kadang apabila seseorang guru datang ke mana-mana premis, orang lain lebih mengenali guru walaupun tiada tanda nama dipamerkan.

b) Menepati masa

Budaya dan amalan menepati masa adalah budaya mulia. Masa itu lebih berharga daripada emas. Jika seseorang guru sentiasa menepati masa untuk memasuki ke kelas, murid akan berasa senang hati kerana cikgu tersebut merupakan seorang guru yang tidak membazirkan masa. Dengan ini, murid akan mencontohi teladan guru tersebut dan dapatlah memupuk nilai yang baik dalam kalangan murid.

c) Bersopan santun

Seseorang guru yang bersopan santun dapat mengeratkan hubungannya dengan murid. Ini kerana murid akan suka mendampingi mereka kerana sifat yang peramah. Tiada jurang antara murid dengan guru akan menyebabkan proses pengajaran dijalankan dengan berkesan.

Maklumat Penulis:

Guru Bahasa Arab, Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan, Ipoh, Perak, Ustaz Quszaini Abd Manan

Artikel berkaitan 

9 bulan 22 hari Dany Al-Fathoni hafal 30 juzuk al-Quran, hebat didikan mak ayah pelajar MRSM ini

Menjaga adab dengan al-Quran, guru dan pelajar boleh jadikan tip ini sebagai rujukan

10 tip pastikan anak suka mengaji al-Quran, mari amalkan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan