HomeGen Alpha"Ayah, saya datang. Ini ijazah untuk ayah. Terima kasih kerana sentiasa berada...

Artikel Berkaitan

“Ayah, saya datang. Ini ijazah untuk ayah. Terima kasih kerana sentiasa berada di sisi satu masa dahulu”

“Saya selalu ingat yang ALLAH tidak akan uji hambanya melebihi kemampuan dirinya sendiri.

“Kerana itu, apa jua ujian yang datang, ia telah menjadikan saya seorang insan yang lebih kuat dan tabah,” demikian kata Alfiyandi Syaiful.

Dia yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diuji dengan pelbagai dugaan, bermula dengan dirinya, abang sehinggalah kepada arwah ayah.

Seperti yang dikongsikan kepada wakil UTHM, Alfiyandi telah disahkan mengidap apendiks akut dan terpaksa menjalani pembedahan segera ketika dia berada pada semester pertama pengajian.

Malangnya selepas pembedahan, proses yang dijangka hanya mengambil masa dua minggu itu berlarutan untuk tempoh masa yang lama akibat ‘Adhesion Colic’ atau usus melekat.

“Dengan berat hati, saya terpaksa menangguh pengajian satu semester kerana keadaan yang tidak mengizinkan.

“Namun begitu, dengan izin ALLAH saya kemudiannya dapat menyambung pembelajaran pada semester berikutnya,” katanya.

Artikel berkaitan 

Keluarga terharu terima diploma arwah anak

Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor USM tetap kuat walaupun diuji dengan pemergian bapa ketika hadapi peperiksaan

Selain menghadiri kelas, Alfiyandi turut melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum peringkat antarabangsa seperti program khidmat komuniti selain turut menyertai Sekretariat Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) bagi bersama-sama pejuang-pejuang kanser sekitar negeri Johor.

“Saya berminat menyertai YKTLJ kerana didorong oleh pengalaman menjaga abang yang juga seorang pejuang kanser.

“Dia telah berjuang melawan kanser lebih tiga tahun sebelum pergi meninggalkan dunia menuju ke negeri abadi,” katanya.

Ayah hidap kanser

Setelah setahun berlalu, Alfiyandi sekali lagi diuji dengan kesihatan ayahnya yang disahkan mengidap kanser.

“Setelah mendapatkan pandangan daripada penasihat akademik fakulti, saya nekad untuk menangguhkan pengajian dan menjaga ayah yang perlu menjalani rawatan kimoterapi dengan kerap.

“Saya percaya setiap ujian yang diberikan tidak melebihi kemampuan diri kita, lalu saya tinggalkan sahabat seperjuangan dengan berat hati untuk sementara waktu.

“Bagaimanapun, ketika dunia dan negara dilanda wabak Covid-19, saya dapat meneruskan pengajian semula secara dalam talian sambil menjaga ayah yang semakin tenat,” ujarnya.

Ketika Alfiyandi berjuang menghabiskan pengajian di samping menjaga ayah di sisi, akhirnya ayah tercinta menghembuskan nafas terakhir pada Ramadan tahun lalu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Tidak mudah bagi saya untuk mencari semula semangat yang hilang namun hasrat ayah yang ingin melihat saya naik ke pentas menerima ijazah menjadi pendorong dan kekuatan pada diri.

“Kini penantian ayah sudah tiba, walaupun pada awalnya agak berat bagi saya untuk menghadiri majlis konvokosyen, namun hari ini saya nekad untuk berada di dewan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Alfiyandi melahirkan rasa syukur kerana sebahagian daripada gaji pertama telah digunakan untuk mencantikkan pusara ayahnya.

“Berkat doa arwah ayah dan abang, saya dapat menghabiskan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian Kelas Pertama.

“Malah, rezeki meraih Anugerah Dekan bagi setiap semester dan Anugerah Naib Canselor bagi konvokesyen kali ini adalah antara kenangan yang cukup bermakna bagi diri ini,” ujarnya.

Artikel Terkini