Malaysia boleh!
Itulah yang dapat penulis katakan apabila mengetahui ramai pelajar Malaysia telah berjaya mengharumkan nama negara di mata dunia.
Yang terbaharu, tiga lagi pelajar kita akan mewakili negara ke Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Rantau 2022 di Myanmar pada hujung tahun ini.
Mereka terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh Ranau, Sabah, Sky Broxlyne Roy Maxwill; George Loh Ing Won (SMK Methodist, Sarawak) dan Muhammad Adam Haiqal Shaari Ismail (Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu, Terengganu).
Pemilihan ketiga-tiga pelajar ini berdasarkan kejayaan masing-masing pada Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022 kategori Murid Sekolah, baru-baru ini.
Dalam pertandingan tersebut, Sky Broxlyne diumumkan johan, manakala George Loh Ing Won dan Muhammad Adam Haiqal, masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.
Sky Broxlyne membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,500 berserta sijil dan trofi, manakala, tempat kedua dan ketiga pula mendapat wang tunai berjumlah RM1,500 dan RM1,000 berserta sijil dan trofi.
Dua pelajar lain yang juga dari SMK Mat Salleh Ranau iaitu Abbel Sinusi dan Sahana Nair Ravi dinobatkan pemenang tempat keempat dan kelima pada pertandingan tersebut.
Tingkatkan tahap pengetahuan pelajar
Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022 telah berlangsung Jun lalu melibatkan dua kategori iaitu Terbuka dan Murid Sekolah.
Ia adalah acara dwi-tahunan yang diadakan secara berkala di bawah kalendar ASEAN - Committee of Culture and Information (COCI) yang merupakan antara badan di bawah ASEAN.
Kuiz ASEAN telah memasuki edisi ke-10 penganjurannya pada tahun ini, setelah berjaya dilaksanakan sejak 2002.
Antara objektif Kuiz ASEAN adalah untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran mengenai hal ehwal ASEAN dalam kalangan peserta, di samping bertujuan memberikan pendedahan kepada golongan belia terhadap aspek kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial negara-negara ASEAN.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital), Jabatan Penerangan Malaysia, Hashim Bedu dalam ucapan penutup Pertandingan Kuiz ASEAN 2022 berkata, pertandingan tersebut mendapat sambutan menggalakkan terutama sekali dalam kalangan pelajar.
"Jumlah penyertaan bagi kategori Murid Sekolah pada tahun ini seramai 36,508 iaitu peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding 25,595 penyertaan pada 2020.
"Peningkatan kategori ini sekali gus menyaksikan jumlah keseluruhan turut meningkat iaitu dari 47,091 pada 2020 kepada 54,796 penyertaan bagi 2022.
"Pertambahan bilangan peserta secara tidak langsung membuktikan pelajar kita berpengetahuan tinggi berkaitan hal ehwal ASEAN dan mencabar diri menyertai pertandingan tersebut,” ujarnya.
Artikel berkaitan
Enggan kecewa sekali lagi, Izz Khalisa bangkit dan akhirnya muncul pelajar cemerlang SPM 2021
Tuah Muhammad Syahmi, lakar kecemerlangan hasil kerja keras
Pernah hampir dibuang universiti akibat gagal subjek Kimia, Cikgu Hailmi kini guru cemerlang Sains