cikgu hailmi
cikgu hailmi

Pernah hampir dibuang universiti akibat gagal subjek Kimia, Cikgu Hailmi kini guru cemerlang Sains

Adlan Farhan Azwan
29 Jun 2022 09:14am
A
A
A

Di sebalik kejayaan sebagai guru cemerlang Sains, Norhailmi Abdul Mutalib pernah hampir dibuang universiti semasa melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM).

Kesukaran untuk menguasai subjek Kimia merupakan antara cabaran terbesar Norhailmi dalam usahanya menimba ilmu sehinggakan pernah memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) kurang daripada 1.0.

Kini, beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Hailmi telah terpilih mewakili negara sebagai penerima Anugerah Princess Maha Chakri tahun 2021 daripada kerajaan Thailand dan pernah disenaraikan sebagai finalis 50 teratas bagi anugerah Global Teacher Prize 2020 oleh Varkey Foundation yang berpusat di London pada Mac 2020.

Norhailmi mengaku dirinya bukanlah pelajar yang sentiasa memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang. Malah, kesukaran semasa zaman belajarnya telah membuatkan beliau bekerja keras sehingga ke hari ini.

Norhailmi berkata, keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang diperoleh hanya berada pada tahap sederhana sahaja, tetapi masih berpeluang untuk menyambung pelajaran di Program Sains Matrikulasi USM dan seterusnya ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Kimia.

[embed]https://www.tiktok.com/@cikguhailmi/video/7110740922421267738?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7062922595423651330[/embed]

“Hakikatnya, saya tidak minat dengan subjek Kimia, ditambah pula saya tidak belajar betul-betul kerana di peringkat sekolah dahulu saya sudah selesa ‘disuap’ sehingga saya tidak tahu bagaimana untuk belajar dengan teknik yang betul di peringkat universiti.

“Selain itu, kebanyakan kawan saya semasa di USM bukanlah daripada kursus yang sama. Oleh itu, saya langsung tiada keterujaan untuk belajar kursus berkenaan dan akhirnya terus hanyut.

“Akibat daripada tiada minat, saya juga sering ponteng kelas dan pernah mendapat PNGK kurang daripada 1.0 yang hampir membuatkan saya dibuang universiti,” katanya ketika berkongsi pengalaman kesukaran yang dialami semasa zaman belajarnya.

Keadaan ini telah memaksa Norhailmi untuk melakukan permohonan pertukaran kursus kerana hanya subjek Kimia sahaja yang gagal. Malangnya, permohonan beliau telah ditolak.

Namun, Norhailmi tetap meneruskan perjuangan. Pada tahun ketiganya, beliau turut serta untuk menghadiri kuliah bersama-sama pelajar ‘junior’.

“Saya mula memaksa diri untuk meneruskan juga kerana simpati pada ibu dan bapa di kampung yang sudah banyak habiskan duit untuk pelajaran saya dan pada masa itu saya adalah ahli keluarga pertama yang memasuki universiti.

“Saya berpegang kepada prinsip ‘gagal sekali bukan bererti gagal selamanya’. Akhirnya, saya berjaya menamatkan pengajian dengan PNGK 2.35,” tambahnya.

Mengulas lanjut tentang perjalanannya menjadi seorang guru, Norhailmi pada mulanya sedang mencari kerja selepas tamat pengajian dan kakaknya yang juga merupakan seorang guru mencadangkan agar beliau membuat permohonan untuk menjadi guru ganti di Perlis.

“Sepanjang tempoh menjadi guru ganti, saya timbul minat dan ‘jatuh cinta’ dengan mengajar. Kemudian saya mengambil keputusan untuk memohon KPLI (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah).

“Alhamdulillah saya berjaya dan terus memilih Kimia sebagai subjek utama untuk mengajar. Saya juga memasang niat untuk menjadi guru yang mampu menjadi inspirasi kepada anak murid,” ujar beliau.

Keputusan yang dibuat olehnya dahulu telah membuka ruang bagi membuktikan kemampuan dirinya sehingga dinobatkan sebagai guru cemerlang dalam bidang Sains sehingga berjaya menerima Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2022 yang dicalonkan sendiri oleh bekas muridnya.

Sumber: mStar

Artikel berkaitan

Tanpa mereka, mana mungkin saya dinobatkan sebagai penerima Guru Cemerlang Pendidikan Khas - Cikgu Kumaresan

Terima Guru Anugerah Ikon Pendidikan Digital, Cikgu Fazli mahu terus bantu pelajar

Khalifa guru Malaysia pertama dinobatkan sebagai pemenang Global 2022 Cambridge Dedicated Teacher Awards


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan