Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan kerjasamanya dengan Universitas Hasanuddin (UNHAS), Indonesia bagi memperkukuhkan lagi akademik dan penyelidikan komuniti kedua-dua institusi.
Naib Canselor UTM Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, kerjasama itu penting dalam membantu menjalinkan ikatan antara UTM dengan satu daripada institusi penting di peringkat antarabangsa seperti UNHAS dalam meningkatkan imejnya di seluruh Malaysia dan serantau.
Katanya, sebelum ini UTM dan UNHAS telah menjalin kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) selama lima tahun yang berakhir pada 2015 dan ia disambung kembali pada tahun ini untuk tempoh yang sama bagi memperluaskan persefahaman antara kedua-dua belah pihak.
"Melalui kolaboratif ini, kurikulum dan pertukaran penerbitan ilmiah dapat dikembangkan, begitu juga penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak.
"Selain itu juga, UTM akan memberi keutamaan kepada para pensyarah dari UNHAS untuk melanjutkan pengajian pascasiswazah di sini, dan UNHAS juga memberi keutamaan kepada pensyarah di UTM untuk melanjutkan pengajian pascasiswazah di sana," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara UTM dengan UNHAS yang diadakan secara dalam talian, hari ini.
MoU itu ditandatangani Ahmad Fauzi selaku wakil UTM, manakala Rektor UNHAS Prof Dr Dwia Aries Tina Pulubuhu pula mewakili institusi berkenaan.
Ahmad Fauzi pada masa sama berkata, MoU itu juga akan melibatkan kegiatan pertukaran kakitangan merangkumi lawatan sambil belajar, menjalankan penyelidikan atau mengawasi projek pelajar, penambahan staf untuk peningkatan dan penyelidikan, menghadiri seminar, kolokium dan perbincangan akademik.- BERNAMA