Dua Jurutera Pengajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diiktiraf sebagai pengendali dron wanita profesional pertama dari universiti berkenaan, baru-baru ini.
Jurutera Pengajar yang dimaksudkan iaitu Raeihah Mohd Zain dan Rohaina Jaafar berjaya melengkapkan kursus Training of Trainer (TOT) in Drone Theory & Piloting Training di Technology Park Malaysia (TPM), Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan seterusnya mendapat pengiktirafan dari Terra Drone Technology Malaysia Sdn Bhd.
Raeihah berkata, menerusi kursus dan pengiktirafan ini membolehkan beliau menambah ilmu, kemahiran dan cara pengendalian berkaitan dron sebenar serta kini beliau lebih yakin untuk mengendalikan gajet tersebut secara profesional.
Jelasnya, antara cabaran dalam pengendalian dron adalah untuk memastikan ia dipasang serta diprogram dengan betul supaya dapat terbang dengan stabil.
"Pada masa yang sama kami berjaya melakukan proses kalibrasi dron yang boleh dikatakan agak rumit dengan teliti dan sempurna seterusnya mengendalikan penerbangan dron dengan baik dan stabil,” katanya.
Sementara itu Rohaina pula menyatakan sebagai pengendali drone profesional, mereka telah dilengkapkan dengan pengetahuan tentang undang-undang penerbangan dron secara rasmi.
"Kami didedahkan berkenaan undang-undang pengendalian dron di Malaysia oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” ujarnya.
Katanya lagi, pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki bukan hanya untuk diri sendiri tetapi akan dikongsikan kepada pelajar dan tentunya ia memberikan impak besar kepada UTeM.
Dalam kursus yang telah mereka jalani, turut diikuti dengan jayanya adalah empat orang lagi rakan FTKEE iaitu Ts Aminurrashid Noordin (Pensyarah Kanan), Ts Tg Mohd Faisal Tengku Wook (Pengurus Makmal JTKEK), Ts Muhamad Falihan Bahari (Jurutera Pengajar) dan Tc Azizi Osman (Penolong Jurutera).
Dalam pada itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, inisiatif UTeM mengetengahkan pengendali dron dalam kalangan staf wanita adalah sebagai langkah ke hadapan agar golongan itu turut menceburi dan berjaya sebagai pengendali dron yang profesional.
Artikel berkaitan
UTeM jayakan projek komuniti bangunkan Sudut Hikmah di masjid
Kemahiran pengendalian dron bukan sekadar hobi, kini profesion dalam pelbagai industri