Bahana mengejar KPI, kompetensi dan profesionalisme pensyarah terjejas

Iklan
Bahana mengejar KPI, kompetensi dan profesionalisme pensyarah terjejas

Dewasa ini, setiap ahli akademik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) perlu menggalas pelbagai tanggungjawab.

Iklan
Iklan

Ini dapat dilihat kesibukan para pensyarah menjalankan tugas selain tugas hakiki iaitu mengajar, mereka juga perlu melakukan menulis, penyelidikan, penerbitan, inovasi atau reka cipta serta melibatkan diri di dalam projek penjanaan pendapatan universiti.

Iklan

Hakikatnya, pensyarah di alaf 21 perlu mengambil peranan sebagai penjana ilmu baharu (penyelidik), pemimpin ilmu (sarjana) dan penyampai ilmu kepada masyarakat (intelek awam).

Iklan

Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan dengan fokus, sepenuh hati, beretika dan tekad serta berbekalkan semangat bersaing secara sihat, profesionalisme, integriti dan mematuhi etika piawaian sebagai seorang ahli akademik.

Sumbangan kakitangan akademik dinilai berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan ini tidak terkecuali kepada indeks pencapaian setiap IPT dan fakulti pengajian.

Ini membuka mata ahli akademik agar terus jitu mempamerkan kemajuan prestasi yang berterusan agar dapat dinilai oleh ketua jabatan atau fakulti pengajian dengan baik.

Warga akademik bukan sahaja dinilai melalui Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) tetapi juga sasaran KPI dan MyRA yang perlu dicapai.

MyRa merupakan satu sistem pengukuran yang digunakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mengukur prestasi universiti awam (UA) di Malaysia.

Ini merupakan lumrah bagi ahli akademik atau pensyarah untuk bertungkus lumus memastikan dapat mencapai KPI minimum setiap tahun.

Antara KPI utama yang dinilai oleh MyRA ialah jumlah penerbitan berindeks, jumlah dana penyelidikan diterima, jumlah pelajar pasca-siswazah bergraduat, produk inovasi yang boleh dikomersialkan di pasaran dan beberapa lagi yang boleh dinilai prestasi dari semasa ke semasa.

Secara tidak langsung, melalui penglibatan secara aktif dan dinamik melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi dapat menjana pertambahan pensyarah yang berilmu, kreatif dan mampu menerokai bidang keusahawanan yang membantu sosio-ekonomi negara.

Sehubungan itu, ahli akademik perlu jati diri dengan bijak merencana masa dan kerjaya agar mereka tidak ketinggalan di dalam mengejar serta mencapai KPI yang telah diamanahkan.

Kebelakangan ini, berlaku insiden tidak sihat iaitu pengabaian etika dan integriti dalam kalangan ahli akademik akibat desakan pengaruh pengurusan tertinggi iaitu KPT, pendidikan perniagaan dan fenomena berlumba-lumba mengejar ranking universiti.

Ironinya, sikap berlumba-lumba mengejar bukan sahaja untuk markah LNPT malah ia juga untuk kenaikan pangkat dengan cara drastik tanpa melalui kaedah, jalan yang sebetulnya.

Sikap ini menyumbang kepada masalah integriti dan tidak beretika.

KPI dikejar, kompetensi, imej diri dan integriti terabai

Adanya KPI bukan sahaja menjadi kayu pengukur seseorang kakitangan akademik untuk dinilai kredibilitinya, kemajuan, pencapaian, keberhasilan kerja tetapi juga menjadi cabaran dan sebagai rangsangan positif untuk setiap pensyarah agar sentiasa komited bekerja bersungguh-sungguh, gigih, berdaya saing hingga mencapai prestasi yang cemerlang, unggul dalam penglibatannya dan membanggakan IPT dan fakulti pengajian.

Segelintir pensyarah yang berjiwa besar menganggap ia menjadi pemangkin semangat dan komited kepada usaha untuk mencapai KPI tetapi ada sebahagiannya yang mungkin rasa terbeban dan tertekan dengan gesaan mengejar KPI secara paksa sehingga mendedahkan diri mereka dengan masalah integriti, penyelewengan kerja, ketirisan dengan memalsukan data atau plagiat penulisan, penerbitan jurnal bagi memenuhi tuntutan KPI secara jalan pintas.

Natijahnya, wujud sekelompok ahli akademik yang bercita-cita tinggi dan tidak rasional hingga mengenepikan prinsip atau dasar Integriti, Etika dan Profesionalisme bagi meraih ruang atau peluang mendapat kenaikan pangkat secara cepat contohnya seorang pensyarah biasa ingin mendapatkan kenaikan Profesor Madya atau Profesor dengan kaedah yang mencurigakan.

Setiap tahun, ahli akademik dituntut untuk mengejar KPI di mana para pensyarah akan bersaing menulis dan membuat penyelidikan bagi memastikan hasil penulisan mereka disiarkan, diterbitkan di jurnal-jurnal bertaraf Scopus, Web of Science, ERA dan sebagainya.

Keberhasilan kerja berteraskan Kualiti atau Kuantiti

Apa yang menyedihkan, terdapat kajian atau penyelidikan yang agak tersasar kerana pensyarah menghasilkan tajuk kajian atau penulisan bukan untuk merangsang minda pembaca atau mendidik masyarakat tetapi lebih kepada mengejar KPI iaitu fokus untuk diterbitkan di jurnal-jurnal berindeks tanpa memikirkan kualiti kandungan kepada pembaca.

Seharusnya, pensyarah perlu terus mengekalkan momentum prestasi dan profesionalisme dengan melakukan penyelidikan yang fokus, isu yang menyentuh kepada masyarakat atau global dan sama-sama amanah melibatkan diri, menerbitkan kertas jurnal secara berpasukan.

Sejajar dengan pepatah Melayu mengatakan, kejayaan tidak datang bergolek, oleh itu sudah pastinya ahli akademik seharusnya peka, bersikap dinamik dan bertanggungjawab mempersembahkan hasil kerja yang berkualiti dan mempamerkan kemajuan yang berintegriti, asli daripada titik peluh diri sendiri bukan menangguk di air yang keruh dan menumpang hasil kerja orang lain.

Terdapat kes di mana segelintir pensyarah menumpang nama di dalam satu topik penyelidikan dan mereka dikenali sebagai ‘Pembonceng Gratis’.

Hakikatnya, adakah logik meletakkan jumlah nama penulis yang ramai bagi menghasilkan penerbitan yang tulen.

Penyelidikan seharusnya dijalankan dengan adil dan setiap penulis bukan sahaja memikul tugas dan tanggungjawab yang dibahagikan tetapi sewajarnya menyumbang idea dan kepakaran bukan hanya menumpang nama demi mengejar KPI yang telah ditetapkan dan digariskan oleh setiap jabatan, fakulti atau IPT.

Jangan sekadar melepaskan batuk di tangga, kerana ia sepatutnya digalas bak kata pepatah, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Tepuk dada, tanya selera wahai ahli akademik, anda dalam kalangan yang mana? Usaha, doa dan ikhtiar perlu dilakukan kerana tiada jalan pintas menuju kejayaan.

Indikasi kesarjanaan dan kewibawaan pensyarah di dalam mempraktikkan profesionalisme serta kerja berpasukan

Mengejar KPI tidak salah bahkan dituntut oleh setiap pensyarah yang berkhidmat sejak awal semester bermula, tetapi perlu dilakukan dengan bijaksana, terancang dengan perancangan yang mampan dengan berada di dalam kumpulan atau bergerak secara berpasukan.

Ini dapat diterjemahkan melalui usaha yang dijalankan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Melaka di mana wujudnya Entiti Kecemerlangan/RIG (EK).

Lazimnya, pensyarah UiTM Melaka diwajibkan menyertai mana-mana EK bagi menggerakkan penghasilan penulisan, penerbitan yang asli, projek inovasi yang bermutu dan penjanaan pendapatan bagi membantu bukan sahaja KPI pensyarah malah juga indeks prestasi MyRA universiti dan pencapaian fakulti.

EK ini juga merapatkan ukhwah di antara penglibatan ahli-ahli daripada pelbagai jurusan atau fakulti dan secara tidak langsung dapat mewujudkan perkongsian, ilmu pengetahuan dan pertukaran pendapat antara satu sama lain dalam pelbagai bidang. Sekali gus membantu pensyarah untuk membuka minda, tidak jumud di dalam satu bidang yang diceburi malah berani bereksperimen di luar kotak dengan melibatkan multi-disiplin. Ini berlandaskan prinsip 'penerokaan ufuk ilmu’ untuk membawa kesarjanaan dan kewibawaan pensyarah terbabit.

Tidak dinafikan dengan adanya EK ini banyak membantu meningkatkan daya saing ahli akademik untuk sama-sama bersaing secara sihat malah memperkasakan lagi peningkatan kepimpinan seorang ketua EK bagi merencana aktiviti yang merangsang minda.

Antaranya, menghasilkan kerja penyelidikan secara berpasukan, bergiat aktif mengajak ahli-ahlinya bersama-sama menghasilkan buku ilmiah, bab dalam buku, projek inovasi yang berkualiti dan sekaligus boleh membuka peluang untuk bekerjasama dengan organisasi luar yang berminat untuk mengkomersialkan produk yang dihasilkan melalui kreativiti inovasi atau reka cipta yang dihasilkan.

Kejayaan sesebuah EK adalah kerana integriti dan kerjasama secara berpasukan.

Semai sikap integriti dan jujur sebagai kakitangan akademik yang berjiwa daya saing

Pensyarah ibarat cermin dan merupakan contoh kepada setiap pelajar yang dicurah ilmunya.

Oleh yang demikian, ahli akademik atau pendidik perlu bersikap waras, rasional dengan mempamerkan sikap integriti dan jujur di dalam apa sahaja yang dilakukan tidak kira dalam pengajaran & pembelajaran (P&P) dan mengejar KPI.

Sudah pasti, pensyarah tidak mahu dilabelkan sebagai seekor ketam yang mengajar anaknya berjalan senget dan pincang.

Realitinya, isu penyelewangan kerja atau masalah integriti tidak boleh dipandang enteng atau sebelah mata sahaja kerana ia menyumbang kepada budaya profesionalisme, keberkatan pendapatan pensyarah, imej jabatan, fakulti pengajian, institusi pengajian tinggi, kewibawaan pembangunan akademik, kesarjanaan, pembangunan masyarakat, industri dan negara.

Secara harfiahnya, ahli akademik perlu sedar dan peka jika mendapati diri berprestasi rendah dan tidak menunjukkan kemajuan perlu segera bangkit dan bergerak secara berkumpulan.

Kaedah ini banyak membantu memastikan diri tidak tercungap-cungap ketika akhir tahun di mana kemajuan LNPT dan prestasi KPI dinilai oleh universiti atau ketua jabatan fakulti.

Gabungan KPI seseorang staf akademik dan MyRA menjadi tunjang kepada penentuan prestasi (ranking) sesebuah universiti, jabatan pengajian yang diwakili oleh warga akademik.

Kesedaran tentang integriti dan profesionlisme perlu bagi mewujudkan etika budaya kerja sihat

KPT setiap IPT, jabatan atau fakulti pengajian perlu sedar dan peka akan permasalahan mengejar KPI dan ranking universiti kerana ia secara tidak langsung mewujudkan budaya kerja yang tidak sihat serta menjejaskan integriti.

Ia mempengaruh profesionalisme seseorang pensyarah dan dikhuatiri akan melahirkan pensyarah yang kurang berkompetensi, menjejaskan kewibawaan dan imej profesi individu.

Tidak dinafikan, adakalanya perlaksanaan KPI yang tidak realistik menyebabkan wujudnya masalah dan tekanan kepada ahli akademik dan akhirnya menjerumuskan kepada jalan pintas, penipuan yang menjejaskan kualiti penulisan, kajian dan penyelidikan yang lahir dewasa ini.

Permasalahan ini perlu diambil berat kerana ia melambangkan budaya kerja.

Tuntasnya, budaya kerja yang baik, sihat berlandaskan kepada kemajuan prestasi seharusnya ditekankan, diamalkan oleh ketua jabatan fakulti dan warga akademik kerana ia akan melestarikan kualiti pencapaian yang tulen dan kecemerlangan sesebuah organisasi selaras dengan budaya bersih, cekap dan amanah.

Perlaksanaan KPI perlu rasional selari dengan kejujuran, integriti dan semula jadi bukan dengan kaedah paksaan atau jalan songsang.

Jangan hanya kerana mengejar KPI, ahli akademik bertindak semberono dan bertindak membuta tuli tanpa memikirkan kaedah dan kualiti kerja yang dihasilkan.

Perlu di ingat, lahirnya seorang cendekiawan, pemimpin yang gemilang, terbilang dan berwawasan dari kancah atau gedung ilmu yang mementingkan kualiti, integriti, kesungguhan berdaya saing dengan sihat dan cemerlang bukan hanya kerana mengejar KPI tetapi mengutamakan tunjang kerohanian, spiritual mental, rasional dan jasmaninya di dalam merencana kehidupan.

Maklumat Penulis:

Norazlinda Mohammad - Ketua EK Komunikasi dan Media Visual serta Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Melaka

Artikel berkaitan 

Kesidang Mas beri peluang Naib Canselor selami permasalahan warga kerja universiti

Kolaborasi MSU dan UEDA College of Fashion, lahir bakat pereka fesyen muda

Kecemerlangan murid SK Pendidikan Khas Miri cerminan penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok