Seramai 76 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) berpeluang mendalami cara hidup masyarakat Orang Asli suku Kensiu menerusi program ‘Indigenous to Genius’ di Kampung Lubuk Legong, Baling, Kedah, baru-baru ini.
Program anjuran Learning Hub: Community Impact Lab Inapan Siswa (INASIS) Bank Rakyat dan pelajar kokurikulum Pembangunan Masyarakat kelas 4C dengan kerjasama Pejabat Parlimen Baling dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu bertujuan mengetahui kehidupan seharian masyarakat Orang Asli suku Kensiu di samping mewujudkan jalinan antara pelajar INASIS Bank Rakyat dengan masyarakat.
Menurut Pengarah program, Nur Afifah Kamal, Indigenous to Genius merupakan program kemasyarakatan pertama diadakan di bawah anjuran INASIS Bank Rakyat, setelah dua tahun terhenti ekoran pandemik Covid-19.
Katanya, penganjuran Indigenous to Genius itu sangat bermakna kerana pelbagai pengalaman diperoleh peserta sepanjang mengikuti program berkenaan.
Selain dapat menyelami kehidupan Orang Asli Kensiu, Nur Afifah dan peserta yang lain juga dapat membantu masyarakat seperti membersihkan kubur, membaik pulih dan mengecat surau, meluangkan masa bersama anak-anak Orang Asli Kensiu dan memberi pakaian percuma kepada mereka.
Sementara itu, seorang peserta, Ahmad Subhi Zolkafly turut berkongsi beberapa momen manis sepanjang program berlangsung.
Ujarnya, dia berpeluang menyaksikan kebudayaan Orang Asli Kensiu yang merupakan suku terkecil dalam kelompok Orang Asli di dunia.
"Walaupun telah berasimilasi dengan kehidupan moden dan ramai yang telah memeluk agama Islam, namun kebudayaan mereka tetap diamalkan. Cuma, ada beberapa corak persembahan diubah bersesuaian dengan generasi anak-anak mereka.
"Selain itu, pengalaman meneroka masuk ke dalam hutan di kawasan Baling juga tidak akan dilupakan sampai bila-bila kerana melalui aktiviti inilah pelbagai spesis akar kayu yang digunakan dałam perawatan tradisional dapat kami kenali,” ujar Ahmad Subhi yang merupakan pelajar Ijazah Doktor Falsafah Teknologi Maklumat.
Artikel berkaitan
Teknik ikatan tali leher cara mudah, Cikgu Ali kongsi menerusi program peringkat sekolah
5 atlet golf UUM wakili Malaysia
Gigih cungkil bakat murid Orang Asli dalam robotik. Akhirnya, usaha Cikgu Mohd Zulkhairi berbaloi!