ALOR SETAR - Sebuah maahad tahfiz yang menggabungkan elemen tahfiz, sains dan teknikal akan dibangunkan di negeri Kedah bagi mengembalikan kecemerlangan pendidikan agama di negeri itu.
Menurutnya, ia bakal menggunakan model Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Kulim namun dengan sedikit pengubahsuaian.
"Kita perluaskan bidang vokasional. Perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia telah diadakan untuk mereka terlibat sama dalam program ini susulan terdapat peruntukan dana latihan vokasional,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2035 sempena 100 hari pentadbiran Kedah Sejahtera di Seri Mentaloon di sini semalam.
Muhammad Sanusi berkata, daerah Sik dan Kulim akan menjadi hab pengajian tahfiz dan akan diperluaskan mengikut keperluan.
Mengulas sama ada kerajaan negeri akan meneruskan perancangan awal membangunkan Pulau Tuba sebagai hab pusat tahfiz seperti dicetuskan Menteri Besar Kedah terdahulu, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 2011, beliau berkata, ia perlu disesuaikan dengan keperluan masa kini.
"Saya difahamkan ada pihak swasta bercadang bangunkan tapak tersebut. Jika benar, saya bersedia memberikan sokongan,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga akan mentransformasikan pengurusan sekolah pondok dan maahad tahfiz di negeri itu agar lebih teratur.
"Pondok pengajian agama di negeri kita sangat terkenal dan disegani sehingga menarik pelajar daripada luar negara. Namun, fasiliti dan pengurusan pondok dan maahad tahfiz tidak sepadan dengan namanya,” katanya.